Anda di sini

Pemandu lori dihukum penjara 16 tahun terlibat kumpulan berkaitan pengganas

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan termasuk memberi sokongan, menerima arahan daripada pengganas Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, memiliki gambar serta video berkaitan kumpulan pengganas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi pertuduhan pertama, penjara 16 tahun bagi pertuduhan kedua dan masing-masing penjara lima tahun bagi pertuduhan ketiga dan keempat terhadap Syed Amir Asyraf Syed Hamdan, 21.

Mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 27 Ogos 2016.

Dalam penghakimannya, Ab Karim berharap hukuman yang diberikan menjadi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam agar perbuatan itu tidak berulang pada masa hadapan.

Perbuatan keganasan merupakan kesalahan global iaitu kesalahan tanpa sempadan, sehubungan itu mahkamah berperanan membendung penularan gejala yang merupakan satu kesalahan serius,” katanya.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Amir didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan cara menggunakan aplikasi media sosial Facebook atas nama Abu Syed Malizi yang bertulisan Jawi.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak lebih 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan aplikasi Telegram atas nama Abu Syed Malizi untuk menerima arahan daripada Muhammad Wanndy bagi melakukan perbuatan pengganas menggunakan sebutir bom tangan, sepucuk pistol dan 24 butir peluru.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130FA(A) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki gambar-gambar dan video-video yang merupakan bahan yang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas Daesh.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda dan boleh juga dilucuthakkan mana-mana bahan tersebut, jika sabit kesalahan.

 Dia turut didakwa dengan niat untuk melakukan suatu perbuatan pengganas telah melibatkan diri untuk melakukan serangan melalui perbualan dalam aplikasi WeChat atas nama Abu Syed Malizi sebagai persediaan ke arah melakukan perbuatan keganasan.

Dia didakwa di bawah Seksyen 130JD(1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit  kesalahan.

Terdahulu, peguam Azamuddin Abd Aziz yang mewakili Syed Amir, memohon mahkamah mengenakan hukuman yang rendah kerana anak guamnya masih muda dan tidak matang selain terpengaruh dengan Muhammad Wanndy.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran. — Bernama

Advertisement