Anda di sini

Peguam didakwa pecah amanah RM300,000 wang pelanggan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan pecah amanah RM300,000 membabitkan urusan pembelian sebidang tanah milik pelanggannya, tahun lepas.

Jei Kogulaasrie, 47, didakwa pecah amanah RM300,000 yang dibayar oleh Amarjeet Singh Sathwan Singh, 51, bagi urusan pembelian sebidang tanah yang dimiliki oleh Maslor Maskom, 59.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di firma Tetuan Jei Kogulaasrie & Partners di Jalan Kasipillay, Off Jalan Ipoh, di sini, pada 10 Jun hingga 4 Julai 2016.   

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamalluddin menawarkan jaminan RM50,000 berserta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan dengan alasan dia perlu menanggung keluarga serta seorang abang yang menghidap penyakit buah pinggang.

Hakim Azman Ahmad membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 15 Jun untuk sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement