Anda di sini

Motion Prosthetic Orthotic Centre harapan untuk OKU cacat anggota

Advertisement
 Alistair ditemani kakak dan sepupu mengambil kaki palsu yang telah ditempah.
PUAS HATI: Alistair ditemani kakak dan sepupu mengambil kaki palsu yang telah ditempah.

SETIAP insan yang dilahirkan di dunia ini inginkan tubuh badan yang sempurna tanpa cacat cela. Namun tidak semuanya bertuah dilahirkan sempurna kerana ada  sesetengahnya dilahirkan cacat anggota badan, buta dan sebagainya.

Orang yang dilahirkan sempurna juga ada yang mengalami kecacatan ataupun kekurangan disebabkan musibah yang  menimpa seperti kemalangan mahupun penyakit.

Beralamat di BR 105, Ground Floor Lot 2602, Block 217  KNLD MJC Batu Kawah New Township, 93250 Kuching, kedai Motion Prosthetic Orthotic Centre menawarkan dan menyediakan perkhidmatan pembuatan anggota tiruan kepada yang memerlukan.

Pemiliknya, Medam Nuber berumur 46 tahun dibantu oleh isterinya Jene Paul Sallih, 47, memberitahu kedainya mula beroperasi awal tahun 2017. Pasangan berbangsa  Bidayuh ini dikurniakan tiga anak perempuan.

Medam yang juga merupakan seorang orang kurang upaya (OKU) (cacat anggota kaki) memberitahu, beliau memperolehi kemahiran membuat anggota tiruan ini sejak bekerja dengan sebuah syarikat swasta di bandar raya Kuching dari tahun 1995 hingga 2000. 

Ketika bekerja dengan syarikat berkenaan, beliau pernah mengikuti kursus berkaitan teknik membuat anggota palsu di Kuala Lumpur.

Beliau kemudiannya menggunakan kemahiran yang dimiliki dengan bekerja di bawah naungan Jabatan Kebajikan Masyarakat selama 14 tahun.

Beliau bersama isteri tercinta seterusnya menyahut cabaran agar OKU haruslah berusaha dan berdikari supaya tidak ketinggalan seperti masyarakat normal.

Pada tahun 2015, beliau diberi peluang menubuhkan satu pusat pembuatan anggota palsu di premis Pertubuhan Orang-Orang Cacat Sarawak di Jalan Tun Abang Haji Openg, Kuching.

Medam mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Tenaga Kerja yang telah memberi bantuan dalam bentuk peralatan kepada beliau.

Tanpa segan silu, beliau mengakui turut membuat pinjaman kewangan dari MARA, SEDC dan BSN bagi menguruskan perniagaan ini.

Beliau sama sekali tidak menyesal dilahirkan cacat anggota, malah menganggapnya sebagai satu anugerah Tuhan yang perlu ditangani dengan daya usaha sendiri tanpa  mengharapkan bantuan orang lain semata-mata.

Kedai ini menawarkan khidmat membuat anggota palsu seperti tangan, kaki dan sebagainya seperti yang dikehendaki pelanggan.

Beliau dan isteri begitu tabah menguruskan perniagaan walaupun agak perlahan kerana beliau yakin perniagaannya mampu menyara kehidupan sekeluarga di samping memberikan khidmat kepada golongan senasib.

Dengan menggunakan alat sokongan ataupun anggota palsu ini, pergerakan seseorang itu akan menjadi agak mudah dan sedikit sebanyak dapat membantu dalam kehidupan seharian,” tambahnya lagi.

Beliau percaya ramai OKU yang senasib dengannya yang memerlukan peluang pekerjaan untuk kelangsungan hidup.

Lantaran itu beliau telah menawarkan peluang pekerjaan kepada dua OKU iaitu Baharuddin Sam, 31, Melayu dari Samarahan dan Mohd Akil Roben @ Jonathan, 30, Iban dari Simunjan.

Ketika diajukan soalan apakah perasaan mereka ketika diberi peluang bekerja di pusat ini, Baharuddin dan Mohd Akil mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada Medam dan berjanji akan bekerja bersungguh-sungguh.

Saya akan menambah tenaga pekerja khasnya daripada kalangan rakan-rakan senasib pada masa akan datang sekiranya perniagaan ini berkembang maju dan memerlukan lebih ramai lagi  pekerja,” katanya lagi yang turut mendoakan agar perniagaannya berkembang maju.

Medam menyeru sesiapa yang memerlukan khidmatnya agar berkunjung ke kedai dan akan cuba sedaya upaya memberikan perkhidmatan terbaik

Biasanya, kedai ini beroperasi sepanjang minggu kecuali hari Ahad mahupun cuti umum. Pelanggan juga boleh  menelefon ataupun datang sendiri ke kedai ini pada waktu bekerja mahupun cuti.

Memandangkan kedainya baharu sahaja beroperasi, beliau berazam akan mencari peluang ataupun ruang untuk menambah baik kedai baik dari segi kemahiran mahupun peralatan bagi memenuhi permintaan dan kepuasan spelanggan.

Sesetengah komponen untuk membuat anggota palsu ditempah khas dari Kuala Lumpur dan akan dipasang mahupun diubah suai mengikut kehendak ataupun keselesaan pelanggan.

Alistair Edward , 26, Bidayuh berasal dari Bau ketika ditemui, sedang mencuba dan mengambil kaki palsu yang telah ditempah, memberitahu beliau berasa amat teruja dan lega kerana dengan adanya kaki palsu tersebut akan sedikit sebanyak membantunya bergerak sendiri pada masa akan datang. Beliau datang ke kedai ini bersama kakak dan sepupunya.

Menceritakan serba sedikit bagaimana beliau kehilangan sebelah kaki kanannya, Alistair menyatakan bahawa beliau telah terlibat dengan kemalangan pada 25 Disember tahun  2015. Kemalangan tersebut juga menyebabkan tangan kanannya tidak boleh digerakkan lagi. Sejak dari detik itu beliau berasakan seolah-olah tiada semangat lagi untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

Bagaimanapun, beliau akhirnya berasa lega dan bersemangat semula setelah disarankan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk menggunakan kaki palsu yang dibuat di kedai ini.

Segala perbelanjaan membuat kaki palsu ini ditanggung oleh pihak PERKESO. Jutaan terima kasih saya ucapkan. Saya berazam akan meneruskan kehidupan seperti biasa dan  kalau boleh berilah peluang pekerjaan kepada kami golongan OKU,” katanya.

Mengakhiri perbualan, Medam berharap agar masyarakat turut menyokong usaha yang dilakukan oleh golongan ini dan berharap pihak kerajaan mahupun swasta sama-sama  memainkan peranan dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang senasib untuk sama-sama menikmati kehidupan di dunia ini.

 Medam begitu teliti dalam kerjanya
FOKUS: Medam begitu teliti dalam kerjanya
  • oleh
  • Advertisement