Anda di sini

KHTP catat pelaburan berjumlah RM47.45 bilion sejak beroperasi pada 1994

Advertisement

ALOR SETAR: Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) mencatatkan jumlah pelaburan terkumpul sebanyak RM47.45 bilion (AS$11 bilion) sejak mula beroperasi pada tahun 1994.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata jumlah itu amat memberangsangkan dan telah menyediakan lebih 30,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi khusus kepada rakyat negeri itu.

Sehubungan itu, melihat keupayaan dan prestasinya yang baik, kerajaan negeri katanya bercadang untuk memperluaskan kawasan perindustrian itu bagi memenuhi permintaan pelabur yang ingin melabur di KHTP.

Kini KHTP terus berdiri gagah dan kawasan perindustriannya akan terus diperluaskan sejajar dengan hasrat kerajaan bagi menarik lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi ke Kedah,” katanya semasa berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Kedah 2017 di Wisma Negeri, di sini, malam kelmarin.

Pada majlis itu, First Solar Malaysia Sdn Bhd, InfenionTechnology (Kulim) Sdn Bhd, Silterra Malaysia Sdn Bhd , Inokom Corporation Sdn Bhd, Ideal Health Sdn Bhd dan Ninamaju Sdn Bhd memenangi Anugerah Menteri Besar Kedah.

Selain KHTP, Kedah juga mempunyai kilang automotif di Padang Meha, Kulim, yang menjadi tempat pemasangan kenderaan terkemuka seperti Mazda, BMW, Mini, Land Rover, Hyundai dan di Gurun seperti Modenas, Naza Kia dan Go AutoManufacturing dari sebuah syarikat automotif terkenal China iaitu Great Wall Motors.

Kerajaan negeri juga bersetuju membuka pintu sempadan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bukit Kayu Hitam bagi menggalakkan lagi aktiviti ekonomi negeri ini dan menjadikan Bukit Kayu Hitam sebagai Bandar Bebas Cukai, katanya.

Kita juga akan terus bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam pembangunan Wilayah Koridor Utara kerana tahun lalu kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam telah mencatatkan pelaburan RM2.18 bilion daripada RM6.6 bilion.

Daripada jumlah itu, RM1.5 bilion disumbangkan sektor elektrik dan elektronik dengan pelaburan tertinggi dari Jerman diikuti Jepun, China dan Kanada.

Turut diberi penghargaan pada majlis tersebut ialah syarikat penyedia infrastruktur dan utiliti seperti Syarikat Air Darulaman (SADA) Tenaga Nasional Malaysia (TNB) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). — Bernama

Advertisement