Anda di sini

Kerajaan mohon batalkan saman Anwar Ibrahim

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia memohon untuk membatalkan saman difailkan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung permohonannya supaya dilepas dan dibebaskan dari penjara selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Perkara itu dimaklumkan peguam Melissa Sasidaran mewakili Anwar kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Erry Shariman Noor Arifin yang turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Muhammad Azmi Mashud mewakili kerajaan selaku defendan tunggal dalam saman berkenaan.

Melissa berkata mahkamah menetapkan 21 Julai untuk pengurusan kes.

Dalam permohonan bertarikh 12 Mei lepas, kerajaan memohon supaya saman Anwar dibatalkan atas alasan ia menyalahgunakan proses mahkamah dan tidak menunjukkan kausa tindakan yang munasabah selain mendakwa tindakan Anwar memfailkan saman itu tidak sah dari segi Perlembagaan dan ia berbaur hasutan.

Anwar, yang memfailkan saman itu pada 17 April lepas, turut memohon perintah supaya keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 7 Mac 2014 dan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015 diketepikan atas sebab penipuan yang didakwa dilakukan oleh Mohd Saiful, iaitu saksi utama pendakwaan.

Anwar berkata Mahkamah Rayuan telah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskannya, dan mensabitkan dan menghukumnya kepada penjara lima tahun. Namun, Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya pada 10 Feb 2015 dan mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan.

Anwar mendakwa Mohd Saiful telah memberi keterangan sumpah bohong yang diketahui defendan sebagai palsu, namun defendan bergantung serta meneruskan penggunaan keterangan sumpah bohong Mohd Saiful untuk kelebihan sendiri.

Dia juga mendakwa defendan mempunyai pengetahuan bahawa perbuatan liwat yang dikatakan berlaku oleh Mohd Saiful tidak pernah berlaku atau tidak mungkin berlaku berdasarkan keterangan yang diberikan oleh bekas pembantunya itu.

Disebabkan penipuan itu, Anwar mendakwa keputusan Mahkamah Rayuan yang dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan adalah terbatal dan tidak sah dan boleh diketepikan di bawah Seksyen 44 Akta Keterangan 1950 selain turut memohon kos, dan relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Anwar, kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas didapati bersalah meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. — Bernama

Advertisement