Anda di sini

EU intai peluang pelaburan di Iskandar Malaysia

Advertisement

JOHOR BAHRU: Kesatuan Eropah (EU) mengintai peluang pelaburan dalam sektor pendidikan dan pelancongan Iskandar Malaysia, kata Duta dan Ketua Delegasi EU ke Malaysia Maria Castillo Fernandez.

Beliau berkata EU melihat Johor sebagai tempat yang penting untuk mendirikan pangkalan bukan hanya untuk menguasai pasaran Malaysia tetapi juga ASEAN secara keseluruhan.

Iskandar Malaysia mempunyai rancangan besar terutama untuk memajukan wilayah berkenaan. Kami melihat Johor sebagai tempat yang penting.

Alasan kenapa syarikat Eropah tertarik dengan Johor ialah kerana infrastruktur yang baik terutamanya di Wilayah Iskandar,” katanya dan menambah terdapat perundangan yang baik serta tenaga kerja yang berpengetahuan bekerja dalam bahasa Inggeris.

Maria berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perbincangan meja bulat antara delegasi EU yang dalam misi perdagangan ke Johor, dan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) di sini kelmarin.

Hadir pada perbincangan itu ialah 11 duta lain dari negara-negara anggota EU iaitu Belgium, Republik Czech, Denmark, Finland, Perancis, Jermany, Hungary, Ireland, Poland, Romania dan Sepanyol.

Maria berkata terdapat banyak perkara yang menarik minat EU dan lawatan kelmarin membuktikannya dengan harapan dapat mewujudkan asas bagi membina hubungan yang lebih erat dan berpanjangan antara Eropah dan Johor.

Sepanyol, Jerman, Netherland dan Perancis sudah menjadi pelabur utama di Johor dan kami kini membawa syarikat Denmark dan Ireland. Jadi tentunya terdapat banyak rancangan untuk mengetahui apa yang boleh ditawarkan dan kemungkinan untuk pelaburan.

Terdapat banyak perkara yang menjadi minat kami kerana ia melibatkan ketelusan dan tadbir urus yang baik, persekitaran dan kemampanan dalam projek-projek kami bersama-sama sebagai rakan kongsi, meningkatkan pertukaran rakyat dengan rakyat termasuk pertukaran dalam bidang akademik melibatkan pelajar, “ katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IRDA Datuk Ismail Ibrahim berkata pihak berkuasa wilayah itu menjangka lebih banyak pelaburan dari EU berdasarkan kepada apa yang dibincangkan dan dibentangkan kepada delegasi kelmarin.

Tentunya terdapat potensi yang besar bagi negara-negara dari Eropah untuk datang melalui syarikat multinasionalnya. Apa yang kita tawarkan hari ini bukan pengakhiran tawaran, masih banyak sektor yang boleh terus berkembang seperti pelancongan.

Apa yang lebih penting ialah Iskandar Malaysia boleh bertindak sebagai platform bagi syarikat-syarikat Eropah mencapai penduduk ASEAN seramai 650 juta.

Kita mahu melihat Iskandar Malaysia dapat menyediakan platform berkenaan,” katanya.

Ismail berkata pelaburan terkumpul di Iskandar Malaysia dari 2006 hingga Mac 2017 berjumlah RM227.67 bilion manakala pelaburan dari EU sebanyak RM13.67 bilion.

Sepanyol mendahului senarai dengan RM4.18 bilion diikuti dengan Jerman (RM2.77 bilion), Netherlands (RM1.89 bilion), Perancis (RM1.63 bilion), United Kingdom (RM1.07 bilion) dan lain-lain (RM2.12 bilion). — Bernama

Advertisement