Anda di sini

47 program baharu ‘Sucikan Hati, Salam Ramadan’ di RTM

Advertisement
 (Dari kiri) Hjh Zainab Yusof, YBhg Dato’ Hj. Mustafa Kamal Abd Razak (Pengarah Bahagian Prgram Radio, mewakili Ketua Pengarah penyiaran), Norliza Mohd Ali dan Che Rohana Che Omar semasa sidang media bagi mengumumkan 47 program baharu yang akan ditayangkan dan diperdengarkan di RTM sepanjang Ramadan ini. — Gambar RTM
SESI SIDANG MEDIA: (Dari kiri) Hjh Zainab Yusof, YBhg Dato’ Hj. Mustafa Kamal Abd Razak (Pengarah Bahagian Prgram Radio, mewakili Ketua Pengarah penyiaran), Norliza Mohd Ali dan Che Rohana Che Omar semasa sidang media bagi mengumumkan 47 program baharu yang akan ditayangkan dan diperdengarkan di RTM sepanjang Ramadan ini. — Gambar RTM

RADIO Televisyen Malaysia (RTM) sentiasa berbesar hati dalam menyampaikan mesej positif yang dikongsikan bersama-sama penonton dan pendengar setia salurannya apatah lagi dalam menghayati sambutan bulan Ramadan yang bakal menjelma. 

Tahun ini, RTM tampil dengan tagline ‘Sucikan Hati, Salam Ramadan’ untuk TV1, TV2, TVi dan radio menjanjikan tayangan 47 program baharu yang merangkumi program berbentuk keagamaan, telemovie, drama bersiri, dokumentari, majalah dan masakan tontonan seisi keluarga. Lebih istimewa, kali ini RTM tampil dengan lagu tema dinyanyikan oleh UNIC bertajuk ‘Sucikan Hati’.

Program tonggak iaitu ‘Syahadah 2016 musim ke-12’ bertemakan Raikan Nur Islam, memaparkan keindahan Islam di negara Maghribi (Morocco) dan asimilasi budaya saudara kita (mualaf) di Malaysia. Ia disiarkan mulai 26 Mei ini, setiap hari, menerusi TV1 jam 6.30 petang, TV2 jam 7.00 petang manakala TVi pula mulai 27 Mei ini, jam 7.30 malam. 

Saluran utama TV1 menyiarkan 30 episod program ‘Ketuk-Ketuk Ramadan musim ke-10’ mulai 26 Mei ini, setiap hari, jam 12.30 tengah hari. Kali ini menampilkan resepi menarik dengan artis seperti Faye Kusairi, Shah Jazle, Yabang (Khalifah), Elly Mazlein, Ozlynn Wati, Khai Bahar, Wan Sharmila, Suhaimi Yusoff, Ogy, Elfira Loy dan ramai lagi.

Saksikan drama bersiri 30 episod sarat pengajaran dan keinsafan bertajuk ‘Seharum Mawar’ lakonan Ika Nabila, Hafidz Roshdi, Fezrul Khan, Atikah Suhaime, dan Jaslin Puasa.

Empat telemovie khas disiarkan bertajuk ‘Srengenge’, ‘Detik Berputar’, ‘Kasut Untuk Ayah’ dan ‘Nafas Yang Tertinggal’. Diikuti program masakan ‘Tumpang Masak’ dan ‘Singgah Rasa’, program majalah travelog ‘Kuliah Ramadan’, ‘Destinasi Agung’, ‘Destinasi Hijau’ dan ‘Salam Kopi Pak Belalang’.

TV2 pula tampil dengan dua drama bersiri bertajuk ‘Cerita Ramadan Hazim’ dan ‘Nazar Cinta Ramadan’, juga program ‘Kecoh Dapur’ gandingan pengacara Ieda Moin dan Noorkhiriah.

Turut disiarkan program travelog ‘Musafir’ yang menampilkan Mawi sebagai pengacara mengembara ke beberapa desa terpencil seluruh Malaysia mencari keunikan masyarakat pedalaman meraikan bulan Ramadan.

Selain itu, TVi juga berkongsi program khas ‘Sufi siri 2’, membincangkan topik keagamaan dan motivasi dalam kehidupan seharian juga program masakan ‘Biscotti’, menampilkan Chef Zam menyediakan beraneka kek dan biskut khas buat penonton mencubanya.

Pendengar setia saluran radio milik RTM turut dijanjikan dengan pelbagai program utama termasuklah ‘Jelajah Ramadan 2017’ yang merupakan program tonggak saluran radio RTM setiap tahun.

Memasuki tahun yang ke-6, ia bakal menjelajah ke seluruh negara dengan berkongsi aktiviti mendekati orang ramai mulai 5 hingga 16 Jun.

Radio Klasik berkongsi dengan pendengar segmen secara langsung, ‘Nur D’Klasik’, soal jawab berkaitan Ramadan bersama-sama tokoh agama jemputan.

Manakala NASIONALfm pula tampil dengan segmen drama khas Ramadan bertajuk ‘Monolog Terakhir’ dan rancangan siaran langsung hijrah khas ‘Islam Pilihanku’, menampilkan personaliti mualaf dalam pencarian pegangan sebenar bertonggakkan Islam.

KLfm turut mengete-ngahkan segmen ‘Dapur KL’, berkongsi resepi masakan unik daripada warga kota Kuala Lumpur yang datang dari serata negeri, sementara radio berbahasa Inggeris RTM, TRAXXfm menyediakan program ‘Reflections With Mizz Nina’, temu bual istimewa perkongsian nilai-nilai murni Islam secara universal dan saluran radio ASYIKfm yang majoriti pendengarnya terdiri daripada kaum orang asli dengan segmen ‘Fitrah Ramadan’, petikan berita tentang aktiviti bulan Ramadan di seluruh Malaysia.

Selain daripada itu, radio-radio negeri juga turut menyediakan program-program khas masing-masing sepanjang Ramadan ini.

Advertisement