Anda di sini

26 Mei urus kes lelaki nafi dua tuduhan ugutan jenayah

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret menetapkan 26 Mei ini untuk pengurusan kes seorang lelaki yang menafikan dua tuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap dua individu lain.

Manakala tertuduh diperintahkan supaya ditahan lanjut sementara menunggu tarikh tersebut.

Solomon Takep, 28, dari Lorong 9, Fasa 2 Taman Desa Senadin di sini telah didakwa atas dua tuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan dihadapi.

Berdasarkan kes pertama, tertuduh telah dituduh melakukan ugutan jenayah dengan mengugut hendak mencederakan Simon Usang Dominic, 23.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1 petang, 10 Mei lalu di rumahnya di Lorong 9, Fasa 2 Taman Desa Senadin di sini.

Manakala dalam kes kedua, tertuduh telah didakwa melakukan kesalahan serupa dengan mengugut hendak membunuh Gloria Uring Dominic, 19.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 12.35 tengah hari, 29 April lalu di tempat yang sama.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Advertisement