Anda di sini

Wanita mengaku bersalah lima tuduhan miliki pelbagai harta curi

Advertisement

MIRI: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan denda RM2,500 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret setelah mengaku bersalah atas lima tuduhan memiliki pelbagai harta curi kepunyaan beberapa individu lain.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah menimbangkan beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Annie Anyi, 36, dari Long Maro, Tinjar, Baram telah didakwa atas lima tuduhan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan dihadapi.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati dengan curang telah memiliki atau menyimpan harta curi iaitu dua unit alat komunikasi ‘walkie talkie’ kepunyaan Law Hoi Yin; dua utas jam tangan jenama Crocodile dan Alba, satu unit bank kuasa dan satu unit telefon bimbit milik Wong Tiong Sing; dua unit komputer riba jenama Acer dan HP berserta pengecas dan sebuah beg sandang kepunyaan Yong Ching Kiu, satu unit alat permainan PSP Sony milik Samuel Ngae Hou Zhi dan satu unit telefon bimbit dan dua unit PSP kepunyaan Tan Cho Kai.

Kelima-lima kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh bersama beberapa orang yang masih bebas pada jam 9.50 pagi, 4 Februari tahun ini di sebuah rumah di Jalan Pujut 1A, Jalan Nangka 7 di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Advertisement