Anda di sini

Rasuah: Sembilan individu termasuk enam pegawai polis ditahan reman

Advertisement
 Dua pegawai polis berpangkat ASP dan seorang inspektor dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
REMAN: Dua pegawai polis berpangkat ASP dan seorang inspektor dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Enam pegawai polis yang bertugas di Melaka direman enam hari mulai semalam bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di beberapa lokasi sekitar negeri itu.

Mahkamah Majistret Putrajaya turut mengeluarkan perintah reman bagi tempoh yang sama untuk tiga orang awam berkaitan kes yang sama selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pagi semalam, Majistret Muhamad Safuan Azhar memerintahkan tiga pegawai polis dan tiga orang awam direman enam hari sehingga 22 Mei bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Tiga pegawai polis itu terdiri daripada dua pegawai berpangkat Asisten Superintenden (ASP) yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan seorang lagi berpangkat Inspektor dari sebuah ibu pejabat polis daerah.

Mereka yang berusia antara 31 hingga 50 tahun ditahan dalam operasi mulai jam 9.30 pagi sehingga 9.50 malam kelmarin kerana disyaki mengutip wang perlindungan daripada pengusaha rumah urut dan pusat judi haram di Melaka.

Pada sebelah petang pula, Majistret Muhamad Safuan mengeluarkan perintah reman ke atas tiga lagi pegawai polis yang ditahan oleh SPRM awal pagi semalam bagi membantu siasatan kes yang sama.

Mereka ialah dua pegawai polis kanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan IPD Jasin, yang masing-masing berpangkat ACP dan DSP  manakala seorang lagi berpangkat Inspektor dari sebuah ibu pejabat polis daerah.

Adalah difahamkan pegawai polis kanan di IPD Melaka Tengah dan IPD Jasin ditahan di rumah masing-masing, dan Inspektor itu pula ditahan di lokasi lain dalam satu operasi mulai jam 12.40 tengah malam sehingga 4.05 pagi.

Kesemua sembilan suspek direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009. — Bernama

Advertisement