Anda di sini

Peserta program motivasi bogel didenda

Kelakuan lucah mereka didakwa menimbulkan kegusaran kepada penduduk setempat

 Sebahagian daripada 35 tertuduh berusia antara 19 hingga 23 tahun, hadir ke Mahkamah Bentong atas dakwaan berkelakuan lucah di tempat awam, Bentong, semalam.  — Gambar Bernama
BERKELAKUAN LUCAH: Sebahagian daripada 35 tertuduh berusia antara 19 hingga 23 tahun, hadir ke Mahkamah Bentong atas dakwaan berkelakuan lucah di tempat awam, Bentong, semalam. — Gambar Bernama

BENTONG: Seramai 23 peserta sebuah program motivasi, masing-masing didenda RM1,500, oleh Mahkamah Majistret di sini semalam, setelah mengaku bersalah berkelakuan lucah dengan berbogel di sebuah resort di sini, awal tahun ini.

Majistret Khairuddin Anhar Mahmud juga memerintahkan kesemua tertuduh yang berusia antara 19 hingga 22 tahun itu dihukum penjara sebulan, jika mereka gagal menjelaskan denda berkenaan. Kesemua peserta itu membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua 23 tertuduh yang kebanyakannya pelajar kolej swasta didakwa berkelakuan lucah di tempat awam dengan berbogel di padang permainan di Selesa Hillhomes di sini, ketika melakukan permainan ‘all out’ pada jam 5.30 petang 21 Jan lepas.

Perbuatan itu didakwa menimbulkan kegusaran kepada pengerusi jawatankuasa penduduk kawasan itu Rozzana Chung Abdullah, 59, yang khuatir ia membawa impak negatif kepada wanita dan kanak-kanak di situ.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman ke atas mereka diringankan kerana ia merupakan kesalahan pertama, selain memohon mahkamah menimbangkan faktor masih belajar dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.

Dalam prosiding sama, 10 lagi tertuduh iaitu lima peserta dan lima penganjur  termasuk jurulatih dituduh bersubahat di bawah pertuduhan sama yang dibaca dengan Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sama.

Kesemua mereka yang juga tidak diwakili peguam turut mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan.

Seorang daripada tertuduh yang merupakan jurulatih kem motivasi berkenaan Yew Kian Shyong, 45 , dalam rayuannya mengaku bertanggungjawab sepenuhnya di atas kejadian itu dan berharap kesemua peserta dikenakan hukuman yang paling ringan.

Kem motivasi ini dijalankan untuk mengeratkan kasih sayang antara anggota keluarga, namun diakui ia dilakukan sehingga luar kawalan. Sehubungan itu berilah mereka peluang sekali lagi,” katanya.

Lima peserta itu, masing-masing kemudian turut didenda RM1,500 atau dipenjara selama sebulan jika gagal membayar denda. Mereka membayar denda itu.

Yew bersama empat lagi kakitangannya Cheak Yen Wah,33, Ting Cheng Leong, 44, Lie Keh Feng, 23, dan Lim Eu Geen  26; masing-masing didenda RM3,000 dan sebulan penjara bermula tarikh tangkap, pada 22 Jan lepas.

Pegawai Pendakwa Insp Ismantie Ismail meminta mahkamah supaya mengenakan hukuman setimpal ke atas kesemua tertuduh berikutan perbuatan tersebut bertentangan dengan tatasusila negara ini yang berlatarbelakangkan pelbagai kaum dan agama.

Perbuatan itu juga menunjukkan tertuduh tidak berpegang dengan prinsip Rukun Negara yang mementingkan kesopanan dan kesusilaan, katanya. — Bernama