Anda di sini

Perkahwinan Mako cetuskan perdebatan

Advertisement
 Gambar fail 28 Februari lalu menunjukkan Mako (dua kiri) menyertai adiknya Kako, bapanya Akishino dan ibunya Kiko menyaksikan perlepasan Akihito dan Michiko di lapangan terbang Haneda di Tokyo. — Gambar Reuters
BAHAN PERDEBATAN: Gambar fail 28 Februari lalu menunjukkan Mako (dua kiri) menyertai adiknya Kako, bapanya Akishino dan ibunya Kiko menyaksikan perlepasan Akihito dan Michiko di lapangan terbang Haneda di Tokyo. — Gambar Reuters

TOKYO: Puteri Mako di Jepun, cucunda sulung Maharaja Akihito, akan berkahwin dengan seorang bekas rakan sekelas di kolej, media Jepun melaporkan, yang menghangatkan perdebatan mengenai kerabat diraja yang semakin kecil kerana beliau mesti menjadi orang biasa selepas berkahwin nanti.

Kabinet Jepun dijangka meluluskan rang undang-undang Jumaat ini untuk membolehkan Akihito, 83, turun takhta, tindakan pertama seumpamanya oleh seorang maharaja Jepun dalam tempoh hampir dua dekad, selepas baginda berkata pada Ogos lalu bahawa baginda bimbang usia akan menyukarkan usaha untuk menunaikan kewajipan. 

Namun rang undang-undang itu tidak akan merujuk kepada topik kontroversi mengenai sama ada untuk meminda undang-undang pengganti lelaki sahaja atau membenarkan wanita kekal dalam kerabat maharaja selepas perkahwinan, satu langkah yang golongan konservatif bimbang akan menjadi langkah pertama untuk membenarkan wanita mewarisi takhta.

Ditanya mengenai masalah kekurangan berkenaan dalam kerabat diraja, Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga memberitahu satu sidang akhbar semalam: “Tiada perubahan dalam pandangan kami untuk meneruskan pertimbangan dalam langkah untuk memastikan penggantian maharaja yang stabil.”

Tunang tidak rasmi Mako yang berusia 25 tahun, Kei Komuro, muncul di hadapan kamera media semalam di luar pejabat undang-undang di Tokyo di mana beliau bekerja, sehari selepas berita tentang pertunangan mereka dilaporkan.

Agensi Kerabat Diraja enggan mengulas.

Sekarang bukan masa bagi saya untuk membuat kenyataan, tetapi saya mahu bercakap pada waktu sesuai,” kata Komuro, 25, berkali-kali kepada pemberita.

Komuro, yang menurut media pernah menjadi ‘Putera Laut’ untuk mempromosikan pelancongan di sebuah daerah berhampiran Tokyo, memberitahu beliau berbual singkat di telefon dengan Mako kelmarin.

Hanya empat pewaris takhta iaitu dua putera Akihito yang berusia separuh baya iaitu Putera Mahkota Naruhito dan Putera Akishino, manakala isteri masing-masing berusia awal 50-an, adinda Akihito, 80-an, dan Putera Hisahito, 10, anakanda Akishino.

Akihito mempunyai empat cucu, tiga daripadanya perempuan, iaitu Mako, adindanya Kako, dan puteri Naruhito, Aiko.

Populasi diraja yang mengecil mencerminkan trend lebih umum dalam masyarakat Jepun, menimbulkan kebimbangan bahawa putera paling muda itu mungkin juga yang terakhir.

Di bawah sistem sekarang, terdapat risiko Hisahito akan menjadi satu-satunya pewaris dalam kerabat diraja,” Profesor Universiti Keio Hidehiko Kasahara dipetik media memberitahu panel pakar yang mengkaji isu penurunan dari takhta.

Mako, yang mana seperti bakal suaminya lulusan Universiti Kristian Antarabangsa, mempunyai ijazah Universiti Leicester dan bekerja sebagai penyelidik di sebuah muzium. — Reuters

Advertisement