Anda di sini

Pembinaan rumah ibadah, komitmen berterusan kerajaan

Advertisement
 Ronald turut serta memasang jubin gereja pada program gotong-royong di Kampung Bukit Mengidam.
BANTU: Ronald turut serta memasang jubin gereja pada program gotong-royong di Kampung Bukit Mengidam.

BELURAN: Pembinaan baharu rumah ibadah dalam Parlimen Beluran bukan sahaja membuktikan kerajaan berkeupayaan membangunkan agama di negara ini malah membuktikan rakyat pelbagai kaum bebas beragama.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata ketika ini, dua lagi rumah ibadah masing-masing membabitkan gereja bernilai RM125,000 akan dibina di Kampung Lubang Buaya, Paitan dan sebuah masjid bernilai RM250,000 dibina di Kampung Klagan, Beluran.

Menurutnya ia menunjukkan kepimpinan tertinggi kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana agama malah pembinaan rumah ibadah bertujuan memudahkan rakyat beribadah serta melaksanakan aktiviti keagamaan.

Ia juga dilihat sebagai satu pendekatan baik bagi memastikan rakyat dapat hidup bermasyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Gotong-Royong Bersama Komuniti Bukit Mengidam di Telupid, kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata dalam aspek sosial, kerajaan juga menitikberatkan pembangunan infrasrastruktur untuk kemudahan rakyat luar bandar.

Sehingga kini, katanya, banyak kawasan dalam Parlimen Beluran sudah memperoleh manfaat hasil penyaluran bekalan air dan elektrik serta pembinaan kemudahan asas lain seperti dewan serbaguna khusus untuk melaksanakan pelbagai aktiviti.

Pada majlis itu, Ronald bersama-sama komuniti Kampung Bukit Mengidam melakukan kerja gotong-royong memasang jubin lantai rumah ibadah yang baru siap dibina di kampung berkenaan.  

Advertisement