Anda di sini

Neera, Zulin & Ryzal berperang di episod akhir Perang Bibir

Advertisement
 Neera Azizi, Ryzal Jaafar dan Zulin Aziz berebut gelaran Juara Perang Bibir 2017 dan hadiah wang tunai sebanyak RM30,000 di TV9 malam ini.
SIAPA JUARA: Neera Azizi, Ryzal Jaafar dan Zulin Aziz berebut gelaran Juara Perang Bibir 2017 dan hadiah wang tunai sebanyak RM30,000 di TV9 malam ini.

DEBARAN menanti kemunculan juara sulung Perang Bibir yang akan membawa pulang sebuah trofi dan juga wang tunai sebanyak RM30,000 akan diketahui dalam episod akhir malam ini yang akan disiarkan di saluran TV9, jam 9.30 malam.

Gagal menjuarai episod pertama, peserta wild card Ryzal Jaafar yang berperang bibir dengan Reen Rahim dan Syazuwan Hassan di separuh akhir ke-3 tidak mensia-siakan peluang kedua yang diperolehi itu.

Malahan, persembahan lip sync Ryzal menerusi lagu popular Amy Mastura, ‘Sha Na Na’ dan lagu popular Backstreet Boys, ‘As Long As You Love Me’ berjaya melayakkan dirinya ke episod akhir.

Bermula dengan 24 orang ‘contenders’ (peserta) yang terdiri daripada artis-artis popular Malaysia, Perang Bibir kini telah sampai ke penghujungnya. Menampilkan tiga contenders yang hebat-hebat belaka, apakah strategi Neera Azizi, Zulin Aziz dan Ryzal Jaafar untuk menawan pentas Perang Bibir?

Perang Bibir Final ini juga menampilkan selebriti popular, Amy Mastura dan Raja Lip Sync, Ucop sebagai juri. Persembahan para contender akan dimeriahkan dengan Syazwan Zulkifly, Mustaqim Bahadom dan Ain AWOK.

Menyingkap separuh akhir 3 yang telah bersiaran pada minggu lepas, persaingan sengit antara Reen Rahim, Syazuwan Hassan dan Ryzal Jaafar menjadikan kelab peminat mereka bersorak dengan sekuat hati supaya artis kesayangan mereka dapat meraih markah yang tinggi dalam segmen persembahan lip sync bertema.

Jika sebelumnya Reen memegang dua watak dalam satu lagu, kali ini dia bertukar menjadi gadis manis dengan lagu Ayda Jebat, ‘Siapa Diriku’. Sebelum persembahan, Reen Rahim mengaku dirinya rasa ‘goyang’ selepas melihat Ryzal lebih pandai untuk menari.

Syazuwan pula menjadikan sokongan daripada keluarga dan para peminat sebagai pendorong untuk menjayakan persembahan lip sync dengan lagu Aliff Satar, ‘Lelaki Seperti Aku’.

Ryzal telah mendahului mereka dengan 80 markah manakala Reen mendapat 78 markah dan Syazuwan ketinggalan dengan 73 markah.

Sayangnya Reen Rahim tidak dapat memperolehi sebarang markah dalam lip game pertama, ‘Lirik Dalam Lagu’ dan terpaksa disingkirkan. Ryzal pula berjaya meraih 25 markah lagi dalam pusingan ini. Syazuwan juga mendapat 10 markah. Nasib lebih memihak kepada Ryzal apabila dia sekali lagi mengalahkan Syazuwan dalam lip game kedua iaitu ‘Tiupan Ke Hati’.

Memandangkan Ryzal sedang mendahului pesaingnya, dia tidak menggunakan ‘reset button’. Jadi, persaingan diteruskan dengan kedudukan markah Ryzal Jaafar (105 markah) dan Syazuwan Hassan (83 markah).

Segmen ‘Sing or Lip Sync’ akan menentukan corak persembahan contender sama ada bernyanyi atau lip sync selepas mengambil kad dari kotak misteri. Kedua-duanya lega apabila hanya perlu lip sync.

Syazuwan mempertaruhkan lagu Bunkface, ‘Situasi’ dan Ryzal pula memilih lagu Backstreet Boys, ‘As Long As You Love Me’. Dalam segmen ini, Ryzal meraih 82 markah manakala Ryzal pula hanya 78 markah. Secara keseluruhan, Ryzal Jaafar diraikan sebagai juara separuh akhir 3 dengan 187 markah.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan persembahan Neera Azizi, Zulin Aziz dan Ryzal Jaafar di Perang Bibir Final jam 9.30 malam ini di TV9. Anda juga boleh menonton di portal video Nombor Satu Malaysia, www.tonton.com.my.

Khusus buat peminat Perang Bibir yang kecewa apabila Syazwan Zulkifly, Izreen Azminda dan Reen Rahim tidak beraksi di segmen akhir selepas disingkirkan, persembahan penuh mereka dapat disaksikan secara eksklusif di youtube TV9Malaysia.

Syazwan Zulkifly mempersembahkan lagu VE ‘Pop Yeh Yeh’, Izreen Azminda pula menggayakan semula lagu popular Ramlah Ram iaitu ‘Kau Kunci Cintaku’ dan Reen Rahim pula beraksi dengan lagu Stacy ‘Jahat’.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv9.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram TV9 iaitu @TV9Malaysia.  

 Perang Bibir episod akhir menampilkan Amy Mastura dan Raja Lip Sync Ucop.
EPISOD AKHIR: Perang Bibir episod akhir menampilkan Amy Mastura dan Raja Lip Sync Ucop.
 Ryzal Jaafar mara ke pusingan akhir.
MARA: Ryzal Jaafar mara ke pusingan akhir.
Advertisement