Anda di sini

Mengaku miliki barang curi, lelaki Indonesia dipenjara dua minggu

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret semalam setelah mengaku bersalah terhadap tuduhan memiliki barang curi.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan pada 6 Mei lalu.

Abang Pussadar, 37, dari Indonesia telah didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati dengan curang telah menerima atau menyimpan harta curi iaitu satu unit komputer riba jenama Acer kepunyaan Voon Choon Ting.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.40 pagi, 5 Mei lalu di sebuah rumah kongsi di Jalan Cahaya, Lopeng di sini.

Mahkamah turut memerintahkan agar tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman penjara kelak.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Dalam kes berasingan, Mahkamah Majistret menetapkan 14 Jun depan untuk mendengar laporan sosial seorang pesalah muda yang mengaku bersalah terhadap tuduhan memindahkan harta curi.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan RM1,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Evison Kalang, 20, dari Ulu Teru, Tinjar didapati dengan sengaja telah memindah atau melupuskan harta curi iaitu dua utas rantai emas, sepasang subang emas, dua bentuk cincin emas dan wang syiling (Ringgit Malaysia) kepunyaan makciknya, Lemuai Sagai.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1 petang, 11 Mei lalu di sebuah rumah di Jalan Kuching Timur 3, Taman Tunku di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Advertisement