Anda di sini

Kerani sekolah cuba hantar daging rusa, kijang tanpa permit

Advertisement
 Anggota Jabatan Hidupan Liar Sandakan memeriksa daging rusa dan kijang yang dirampas di Lapangan Terbang Sandakan semalam. — Gambar Bernama
RAMPAS: Anggota Jabatan Hidupan Liar Sandakan memeriksa daging rusa dan kijang yang dirampas di Lapangan Terbang Sandakan semalam. — Gambar Bernama

SANDAKAN: Jabatan Hidupan Liar Sandakan merampas daging serta kepala rusa dan kijang yang cuba dihantar tanpa permit dengan perkhidmatan kurier di Lapangan Terbang Sandakan kelmarin.

Pegawainya Hussein Muin berkata, rampasan itu dilakukan selepas pihaknya dimaklumkan oleh anggota polis bantuan bahawa terdapat sebuah kotak polisterin mengandungi daging serta kepala rusa dan kijang yang hendak dikirim ke Selangor.

Daging disyaki rusa itu seberat 4.6 kilogram (kg) dan 2.3kg disyaki daging kijang berserta 1.6kg organ dalaman serta satu kepala rusa dan kijang,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata pengirim tersebut telah dikenal pasti iaitu seorang kerani sebuah sekolah yang akan dipanggil untuk diambil kenyataannya.

Menurutnya adalah menjadi kesalahan mengirim daging serta kepala rusa atau kijang keluar dari Sabah, di bawah Seksyen 53(b) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Rusa dan kijang dikategorikan sebagai haiwan buruan di bawah Jadual Tiga Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, tetapi jika dikirim ke luar dari negeri ini, ia memerlukan permit yang dikeluarkan oleh Jabatan Hidupan Liar,” katanya.

Pelakunya boleh dihukum di bawah Seksyen 53(2)(c) dengan dendanya tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, tambahnya. — Bernama

Advertisement