Anda di sini

Gagal hadir kes rusuhan, mahkamah keluar waran tangkap empat lelaki

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap ke atas empat lelaki termasuk dua remaja lelaki yang dituduh melakukan rusuhan sambil mencederakan seorang lelaki lain kerana gagal hadir untuk sebutan kes semalam.

Selain itu, Majistret Zuraini Ali Musa turut mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada semua penjamin keempat-empat tertuduh yang juga gagal hadir semalam dan beliau memerintahkan waran tangkap dan notis tunjuk sebab itu dikembalikan pada 31 Mei ini.

Horgan George, 29, dari Tudan Fasa 6; Marcos Ngidang Tinus, 19, dan Victor Benedict, 27, dari Quadruplex Bandar Baru Permyjaya dan Denny Clarrence Nuing, 18, dari Tudan Fasa 6 di sini telah didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan dibawa bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, keempat-empat tertuduh telah didakwa merusuh dan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Selestine Robinson Stephen di bahagian belakang kepala, mata dan telinga sebelah kanan serta belakang badan dengan menggunakan sebatang rotan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama seorang lagi yang masih bebas pada jam 6.05 petang, 25 April lalu di pantai Tanjong Lobang di sini.

Semasa sebutan pertama kes pada 4 Mei lalu, kesemua tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan masing-masing RM1,500 berserta dua penjamin tempatan.

Bagaimanapun, semasa sebutan lanjut kes semalam, mereka gagal hadir.

Justeru pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon kepada mahkamah agar mengeluarkan waran tangkap terhadap keempat-empat tertuduh terbabit.

Advertisement