Anda di sini

Dua lelaki kena sebat 85 kali di Aceh

Advertisement

Ditangkap pengawal sukarela bersama di atas katil dalam serbuan pada Mac lalu

 Pegawai (kanan) mengiringi salah seorang tertuduh selesai perbicaraan di Mahkamah Syariah di Banda Aceh, semalam.— Gambar AFP
SONGSANG: Pegawai (kanan) mengiringi salah seorang tertuduh selesai perbicaraan di Mahkamah Syariah di Banda Aceh, semalam.— Gambar AFP

BANDA ACEH: Mahkamah Syariah semalam menjatuhkan hukuman sebat di khalayak ramai ke atas dua lelaki kerana seks gay di wilayah konservatif Indonesia Aceh.

Pasangan berusia 20 dan 23 tahun itu dijatuhi hukuman sebat masing-masing 85 kali selepas didapati bersalah melanggar undang-undang syariah yang ketat di Aceh.

Mereka ditangkap bersama di atas katil Mac lalu oleh pengawal sukarela yang menyerbu asrama mereka di ibu kota wilayah Banda Aceh.

Hakim Khairil Jamal memberitahu mahkamah, kedua-dua lelaki itu terbukti bersalah dan meyakinkan atas tuduhan melakukan seks gay, justeru defendan dijatuhi hukuman 85 sebatan rotan di khalayak ramai.

Hukuman tersebut lebih tinggi daripada cadangan pendakwaan iaitu 80 kali sebat setiap seorang.

Pegawai belum mendedah-kan nama tertuduh kerana sensitiviti kes dan hukuman akan dijalankan kemudian.

Hukuman sebat di Aceh lazimnya dijalan menggunakan rotan halus di hadapan orang ramai di pekarangan masjid.

Selepas lelaki-lelaki itu ditangkap, rakaman telefon disebarkan dalam talian menunjukkan pengawal menendang, menampar dan mencemuh mereka, di mana seorang daripadanya tersungkur bogel di atas lantai.

Mereka kemudian diserah-kan kepada polis syariah.

Pihak berkuasa berkata pasangan itu mengakui menjalin hubungan dan sudah tiga kali melakukan persetubuhan.

Kedua-dua lelaki itu tiba di mahkamah dalam keadaan bergari sesama sendiri dan menutup muka mereka dengan baju untuk menyembunyikan identiti mereka daripada wartawan.

Semasa perbicaraan, mereka menundukkan kepala dan menutup muka mereka dengan tangan.

Ditanya hakim sama ada menerima keputusan tersebut, seorang daripadanya berkata dengan lembut: “Tolong kurangkan hukuman saya.”

Lelaki kedua sekadar mengangguk lembut dan tidak berkata apa-apa.

Semua ini kejam, ini satu lagi kekurangan Aceh dan juga bagi Indonesia,” kata Andreas Harsono, penyelidik tempatan bagi Human Rights Watch (HRW).

Aceh satu-satunya bahagian di Indonesia, yang mempunyai populasi Muslim terbesar di dunia, yang dibenar melaksanakan undang-undang syariah dengan hukuman sebatan terbuka atas kesalahan perjudian, pengambilan arak dan zina.

Namun lelaki-lelaki yang didapati bersalah semalam adalah yang pertama dikenakan hukuman itu bagi seks gay, yang diharamkan di Aceh di bawah peraturan yang diperkenalkan pada 2015.

Seks gay tidak menyalahi undang-undang di tempat lain di Indonesia.

Keputusan itu didakwa contoh terbaharu tindakan ke atas komuniti kecil lesbian, gay, dwiseksual dan transjantina (LGBT) di Indonesia, di mana tahun lepas menteri kerajaan secara terbuka membuat kenyataan antigay.

Kecaman terhadap komuniti LGBT mulai ketara pada awal 2016 dan aktivis percaya ia dicetuskan liputan meluas media mengenai keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk membenarkan perkahwinan sejantina.

Kes-kes pengamal LGBT yang diganggu atau berdepan masalah semakin kerap dilaporkan.

Awal bulan ini polis menahan lapan lelaki di bandar Surabaya kerana didakwa mengadakan parti gay. — AFP

Advertisement