Anda di sini

Buruh asing dipenjara 12 bulan kerana tinggal lebih tempoh sah

Advertisement

MIRI: Seorang buruh warga asing dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen semalam kerana kesalahan tinggal di negeri ini melebihi tempoh sah dibenarkan.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Steve Ritikos setelah Riski, 21, dari Indonesia mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (4) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh telah ditahan pada jam 12.33 pagi, 12 Mei lalu di sebuah kedai makan di Pusat Komersil Bintang Jaya di sini untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki warga asing.

Hasil pemeriksaan mendapati tertuduh yang merupakan warganegara Indonesia masih tinggal di negeri ini setelah pas lawatan sosial yang dikeluarkan kepadanya tamat tempoh sah pada 1 Mac tahun ini.

Berikutan itu, tertuduh kemudian ditangkap kerana kesalahan tinggal di negeri ini melebihi tempoh sah dibenarkan iaitu selama dua bulan dan 8 hari.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut sebaik selesai menjalani hukuman penjara kelak.

Advertisement