Anda di sini

BPSB dan PLSB tandatangani MoU teroka kerjasama peluang perniagaan

Advertisement
 Mohammad Medan (dua kiri) bertukar dokumen MoU dengan Ahmad sambil disaksikan oleh Omar (kiri) dan Mohd Hanafi (kanan).
PERSEFAHAMAN: Mohammad Medan (dua kiri) bertukar dokumen MoU dengan Ahmad sambil disaksikan oleh Omar (kiri) dan Mohd Hanafi (kanan).

BINTULU: Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB) anak syarikat Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) dan Petronas LNG Sdn Bhd (PLSB) iaitu anak syarikat Petronas telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) tidak terikat membabitkan kerjasama dalam meneroka peluang perniagaan yang berpotensi dan perkhidmatan nilai tambah termasuk menawarkan perkhidmatan `Gassing Up Cooling Down (GUCD) kepada pengusaha kapal LNG yang lain di Pelabuhan Bintulu dalam usaha untuk menjana lebih banyak pendapatan.

 GUCD adalah perkhidmatan khusus untuk membawa tangki simpanan oleh pembawa LNG, selepas dok kering kepada persekitaran asli dan kemudian menyejukkannya ke suhu kriogenik (tolak 160 darjah Celsius) sebelum memuatkan kargo seterusnya.

 “Pelabuhan Bintulu akan menyediakan pelabuhan dan perkhidmatan maritim dalam menyokong perkhidmatan GUCD tersebut.

 Kedua-dua pihak yakin pengendali kapal LNG akan datang ke Pelabuhan Bintulu untuk perkhidmatan GUCD,” demikian menurut kenyataan BPSB di sini semalam.

 Selain itu, BPSB dan PLSB juga akan menjalankan kajian bersama kemungkinan bagi peruntukan potensi perkhidmatan LNG Bunkering di Pelabuhan Bintulu.

 Kajian ini akan melibatkan penilaian daya maju teknikal dan komersial keseluruhan aktiviti LNG Bunkering di pelabuhan itu.

 Dalam pada itu, MoU itu telah ditandatangani pada 8 Mei 2017 lalu di Persidangan Minyak dan Gas (AOGC) ke-19 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula pada 7 hingga 9 Mei 2017 lalu.

 Menandatangani MoU itu bagi pihak BPSB ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Dato Mohammad Medan Abdullah dan PLSB pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG, Ahmad Adly Alias.

 Majlis itu turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Operasi BPSB, Omar Salleh dan Pengurus Besar Pengurusan Armada Kapal LNG, Mohd Hanafi Jamal serta pegawaipegawai pengurusan kanan Petronas dan BPHB.

Advertisement