Anda di sini

Badan penyiaran awam Afghanistan diserang

Advertisement

Stesen radio dan TV kebangsaan menjadi medan pertempuran, wartawan terperangkap

 Beberapa anggota keselamatan tiba di tempat kejadian yang mulai dikosongkan di bandar timur Jalalabad, semalam. — Gambar Reuters
TINJAU SITUASI: Beberapa anggota keselamatan tiba di tempat kejadian yang mulai dikosongkan di bandar timur Jalalabad, semalam. — Gambar Reuters

JALALABAD: Anggota militan menyerang stesen radio dan televisyen kebangsaan di kota Jalalabad, timur Afghanistan, semalam, yang mencetuskan pertempuran manakala wartawan terus terperangkap di dalam bangunan, kata pegawai dan saksi.

Setakat ini belum ada kumpulan pemberontak mengaku bertanggungjawab bagi serangan itu di wilayah Nangarhar, sebuah kubu kuat pelampau Islamic State (IS), di mana tentera Amerika Syarikat (AS) menggugurkan bom bukan nuklear terbesarnya pada bulan lepas dalam satu serangan luar biasa.

Tiga lelaki bersenjata memasuki bangunan RTA (Radio Televisyen Afghanistan) pada pagi tadi,” kata jurucakap kerajaan Attaullah Khogyani kepada AFP.

Dua daripada mereka telah terbunuh dan seorang masih melawan.”

Seorang jurugambar RTA berkata dia lari dari bangunan itu sejurus selepas pertempuran meletus, tetapi beberapa rakannya masih terperangkap di dalam. Seorang pemberita AFP dekat lokasi serangan turut mendengar dua letupan.

Pemberontak IS bergerak aktif di wilayah Nangarhar, di mana Jalalabad adalah ibu kota.

Afghanistan mengalami tahun paling berdarah dalam rekod bagi wartawan pada 2016, menurut Jawatankuasa Keselamatan Wartawan Afghan (AJSC), yang menambah negara itu merupakan kedua paling bahaya bagi pemberita di dunia selepas Syria.

Sekurang-kurangnya 13 wartawan terbunuh pada tahun lepas, kata AJSC, yang mendakwa kumpulan Taliban mendalangi sekurang-kurangnya 10 kematian.

Pada Januari tahun lepas, tujuh pekerja saluran TV popular Tolo, yang sering mengkritik pemberontak, maut dalam satu serangan nekad Taliban di Kabul dalam apa yang disebut oleh kumpulan militan itu sebagai pembalasan kerana menyebar dakyah mengenai mereka.

Tentera AS pada bulan lepas menggugurkan bom ‘GBU-43/B Massive Ordnance Air Blast’, yang digelar “Ibu Segala Bom”, ke atas kedudukan IS di Nangarhar, dan membunuh puluhan pelampau.

Serangan luar biasa itu mencetuskan kejutan global, dengan beberapa pihak yang mengecam penggunaan Afghanistan sebagai apa yang mereka panggil tempat ujian bagi senjata itu, dan ke atas sebuah kumpulan militan yang tidak dianggap sebagai ancaman yang sebesar Taliban.

Menurut Tentera AS-Afghanistan, pembelotan dan kekalahan di medan perang telah mengurangkan kehadiran IS tempatan dari kemuncak seramai 3,000 anggota kepada maksimum 800 anggota sahaja.

Pentagon dilaporkan meminta Rumah Putih untuk menghantar ribuan lagi anggota tentera ke Afghanistan untuk memecah kebuntuan dalam peperangan menentang Taliban.

Anggota tentera AS di Afghanistan berjumlah kira-kira 8,400 pada hari ini, dan terdapat 5,000 lagi dari sekutu NATO, yang juga khususnya berkhidmat dalam kapasiti penasihat, jauh kurang berbanding lebih 100,000 anggota tentera AS enam tahun lalu. — AFP

Advertisement