Anda di sini

45 peserta Unduk Ngadau bakal berentap

Advertisement
 Joanna (lima kiri) merakamkan gambar kenangan bersama jawatankuasa penganjur Unduk Ngadau Kaamatan Negeri 2017.
KOMITED: Joanna (lima kiri) merakamkan gambar kenangan bersama jawatankuasa penganjur Unduk Ngadau Kaamatan Negeri 2017.

KOTA KINABALU: Seramai 45 peserta Unduk Ngadau akan berentap pada Pesta Kaamatan Peringkat Negeri tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Unduk Ngadau Kaamatan Negeri Joanna Kitingan berkata, satu penyertaan tambahan adalah dari daerah Kiulu yang pertama kali menyertai pertandingan berkenaan.

Katanya, kesemua peserta Unduk Ngadau dimestikan boleh berbahasa ibunda masing-masing.

Kami berharap generasi muda boleh mengambil inisiatif sendiri untuk belajar bahasa ibunda mereka dan mengekalkan budaya kita.

Selain itu, pakaian tradisi menjadi satu usaha kami untuk memastikan bahawa setiap daerah membawa pakaian yang berbeza dan jarang dipakai agar peserta dapat belajar menghargai kepelbagaian budaya di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri di sini, Isnin lalu.

Joanna berkata, malam Pakaian Konsep Etnik yang telah diadakan sejak empat tahun lalu akan terus menjadi salah satu pertandingan pada 27 Mei.

Katanya, tujuh peserta terbaik dalam Pakaian Konsep Etnik akan diperagakan pada Sodop Unduk Ngadau pada 29 Mei.

Dalam pada itu, pakaian terbaik dalam pertandingan Pakaian Konsep Etnik akan disimpan oleh Jawatankuasa Unduk Ngadau Kaamatan Negeri.

Ia juga menjadi sebahagian daripada pengumpulan dan untuk galeri masa depan kita serta akan digunakan oleh pemenang Unduk Ngadau 2017 pada program-program yang akan dijalankan olehnya.

Kami berharap kualiti pakaian itu akan lebih baik kerana ia akan dipamerkan. Pengadil bagi pertandingan ini akan meneliti kualiti pembuatan pakaian pereka nanti,” jelasnya.

Sementara itu, Joanna mencadangkan agar sistem pengadilan pemilihan Unduk Ngadau peringkat daerah diselaraskan.

Apabila diselaraskan, sekurang-kurangnya mereka mempunyai garis panduan untuk mengadili siapa yang layak bertanding ke peringkat negeri.

Kami tidak mewajibkan pengadil di peringkat daerah untuk mengikut cara penghakiman ini tetapi kami hanya memberikan mereka garis panduan.

Saya rasa ramai daripada mereka telah pun mengikuti cara pengadilan di peringkat negeri,” katanya.

Menurutnya pengadilan yang diselaraskan itu akan memperoleh kualiti yang sama bagi para peserta Unduk Ngadau di peringkat negeri dan mempunyai saingan yang sengit.

Advertisement