Anda di sini

Tiga lelaki dipercayai terlibat skim JJPTR direman tiga hari

Advertisement

KLANG: Tiga lelaki disyaki terlibat dengan sindiket skim pelaburan JJ Poor to Rich (JJPTR), termasuk dalangnya, direman selama tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung kewujudan unsur penipuan dalam skim berkenaan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Klang Nik Nur Amalina Mat Zaidan bagi membolehkan ketiga-tiga suspek berumur antara 28 dan 29 tahun disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga lelaki tempatan terbabit yang ditahan awal pagi semalam di Petaling Jaya, dihantar ke lokap berpusat di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu kenyataan berkata, seorang daripada mereka disyaki dalang utama skim pelaburan yang didakwa berasaskan perniagaan pertukaran mata wang asing berkenaan, manakala dua lagi adalah orang kanan dan pembantu peribadi.

Jumaat lalu, satu serbuan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan polis Pulau Pinang bersama pasukan siasatan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET), Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Cyber Security Malaysia di lapan lokasi berbeza di sekitar Pulau Pinang.

Kesemua lapan lokasi yang merupakan beberapa buah pejabat dan unit kediaman dipercayai digunakan sebagai pejabat operasi sindiket berkenaan.

Hasilnya 19 orang terdiri daripada 15 orang pekerja dan empat orang pelabur yang berusia dalam lingkungan 23 hingga 40 tahun ditahan.

Turut dirampas dalam serbuan itu adalah tujuh unit komputer serta komputer riba, mesin pengira wang, ratusan dokumen syarikat JJPTR, televisyen, perakam kamera litar tertutup (CCTV) dan wang tunai RM3,300.

Sindiket  itu dipercayai telah mengaut keuntungan RM1.7 bilion hasil wang yang dilaburkan mangsa. — Bernama

Advertisement