Anda di sini

Sekitar 8,000 meriahkan program Sehati Sejiwa di Selangau

Advertisement
APA KHABAR?: Entulu bersalam dan beramah mesra dengan pengunjung yang hadir pada program Sehati Sejiwa di Rumah Jangit Lanting di Selangau.
APA KHABAR?: Entulu bersalam dan beramah mesra dengan pengunjung yang hadir pada program Sehati Sejiwa di Rumah Jangit Lanting di Selangau.

SEKITAR 8,000 orang menghadiri Program Sehati Sejiwa Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun di Rumah Jangit Lanting, Sungai Igu, Selangau, baru-baru ini.

Program Sehati Sejiwa merupakan program yang merakyatkan perkhidmatan awam bertujuan untuk mendekatkan rakyat kepada kerajaan dengan bertemakan budaya turun padang oleh agensi-agensi kerajaan.

Program tersebut merupakan kesinambungan kepada program yang sama telah diadakan di Rh Jaraw, Sungai Plan, Bintulu dan Rh Jelaping, Tatau, Bintulu pada tahun lepas dan Rumah Assan Ngang, Nanga Medamit, Limbang pada 11 Mac lepas.

Program diterajui oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Jabatan Perdana Menteri dengan kolaborasi bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

Program telah dimeriahkan dengan pameran kerjaya dan perkhidmatan kerajaan, taklimat kerjaya SPP dan tips temu duga oleh SPA, taklimat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sibu, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Selangau, Lembaga Minyak Sawit (MPOB), Jabatan Pertanian Sarawak dan Lembaga Lada Malaysia.

 Entulu (empat kiri) menyerahkan alat pemadam api kepada salah         seorang tuai rumah sambil diperhatikan oleh Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu Abdul Mutalib Rashid (tiga kiri).
MANFAATKAN SEBAIKNYA: Entulu (empat kiri) menyerahkan alat pemadam api kepada salah seorang tuai rumah sambil diperhatikan oleh Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu Abdul Mutalib Rashid (tiga kiri).

Turut diadakan program saringan kesihatan komuniti, kaunter pendaftaran sijil lahir oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), taklimat dan demonstrasi pencegahan kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Sepanjang program tersebut pelbagai aktiviti menarik telah diadakan termasuk pameran kerjaya dan perkhidmatan awam, kaunter permohonan jawatan kosong sektor awam secara online oleh SPA dan SPP.

Pada majlis yang sama, Entulu yang juga Ahli Parlimen Selangau telah menyampaikan geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM888,000 kepada 79 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Parlimen Selangau.

Beliau turut menyampaikan dokumen pengenalan diri, surat tawaran pelantikan oleh SPP, penyerahan sijil EKSA dan penyerahan alat pemadam api (Fire Point).

Hadir sama ialah Datin Jacklyne Anthony, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Masir Kujat, Ketua Pengarah MAMPU Dato’ Dr Mazlan Yusoff, Pengerusi SPP Tan Sri Dr Haili Dolhan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Datuk Mong Dagang, Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Adriana Chumang Nyambong dan Pegawai Daerah Selangau Inting Nyami.

  • oleh
  • Advertisement