Anda di sini

Penduduk Lahad Datu dinasihat tidak bimbang

Advertisement

LAHAD DATU: Penduduk di pantai timur Sabah dinasihatkan tidak bimbang atau membuat spekulasi berhubung laporan kemasukan lelaki bersenjata di kawasan Felda Sahabat di sini, baru-baru ini.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata laporan itu masih dalam siasatan polis dan ESSCom sentiasa memantau dan membuat rondaan keselamatan.

“ESSCom sentiasa memantau serta melaksanakan rondaan di darat dan laut bagi memastikan kawasan pantai timur Sabah sentiasa selamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sehubungan itu, ESSCom mahu orang ramai bekerjasama dan tampil memberi sebarang maklumat mengenai keselamatan di kawasan pantai timur Sabah supaya tindakan dan siasatan boleh dijalankan segera.

Kelmarin dilaporkan seorang pekerja ladang berusia 52 tahun membuat laporan polis selepas terserempak lima lelaki bersenjata di ladang Sawit Blok 8, Felda Sahabat 2, Cenderawasih dekat sini ketika membersihkan kebun sawit.

Lima lelaki bersenjata itu juga dikatakan sempat memberitahu pekerja ladang tersebut bahawa 37 orang telah mendarat di pantai dan tujuan mereka datang adalah untuk menyelamatkan penduduk di Sabah. — Bernama

Advertisement