Anda di sini

Korban manusia ditemui di bawah tembok istana

Advertisement
 Gambar serahan pusat Gyeongju semalam menunjukkan dua rangka di tapak Wolseong di Gyeongju. — Gambar AFP
DITEMUI: Gambar serahan pusat Gyeongju semalam menunjukkan dua rangka di tapak Wolseong di Gyeongju. — Gambar AFP

SEOUL: Bukti korban manusia untuk memastikan kejayaan projek pembinaan purba telah ditemui buat kali pertama di sebuah tapak di Korea Selatan, menurut pihak berkuasa semalam.

Dua rangka manusia dari kurun ke-5 ditemui di bawah tembok Wolseong atau Istana Bulan di Gyeongju, ibu negara kerajaan purba Silla, menurut kenyataan Pentadbiran Warisan Kebudayaan.

“Ini adalah bukti arkeologi pertama bahawa dongeng rakyat mengenai manusia dikorbankan sebagai asas bangunan, empangan atau tembok didapati kisah benar,” kata jurucakap Choi Moon-Jung dari Institut Penyelidikan Warisan Kebudayaan Gyeongju.

Pengebumian hidup-hidup mangsa dengan mayat raja untuk berkhidmat kepada mereka di alam barzakh amat dikenali dalam budaya purba Korea.

Cara kematian mangsa Wolseong belum dapat dipastikan dan penyelidikan lanjut sedang dijalankan, tetapi mereka dipercayai tidak ditanam hidup-hidup.

“Berdasarkan keadaan di mana tiada petanda melawan ketika mereka ditanam, mereka pasti telah dikebumikan ketika pengsan atau setelah mati.

“Dongeng rakyat menyatakan manusia dikorbankan untuk menenangkan dewa dan sebagai rayuan bagi memastikan struktur yang dibina bertahan untuk tempoh yang lama,” kata penyelidik kanan Park Yoon-jung.

Dua rangka tersebut ditemui bersebelahan di bawah penjuru barat tembok batu dan tanah istana itu, satu menghadap ke atas, satu lagi dengan kepala dan tangan miring sedikit ke arah rangka pertama.

Kerajaan Silla adalah antara tiga kerajaan yang muncul di semenanjung Korea pada alaf pertama, sebelum akhirnya menakluki kedua-dua kerajaan lain untuk menyatukan wilayah tersebut pada 668.

Ia kemudian berpecah sebelum tunduk sepenuhnya pada 935.

Artifak dari zaman tersebut merupakan antara khazanah kebudayaan Korea yang paling berharga dan tapak bersejarah Gyeongju juga salah sebuah tarikan utama pelancong tempatan mahupun asing.

Ujian DNA dan lain-lain sedang dijalankan ke atas kedua-dua rangka tersebut untuk menentukan ciri-ciri fizikal, kesihatan, pemakanan dan genetik mereka.

Hasil penemuan lain termasuklah tablet kayu memaparkan inkripsi serta ukiran patung dan manusia kurun ke-6, selain ukiran manusia berserban dan berpakaian menyerupai penduduk ketamadunan purba Sogdiana di Asia Tengah. — AFP

Advertisement