Anda di sini

Dua beradik hadapi sembilan pertuduhan salah guna kad minyak milik Rapid Bas Kuantan

Advertisement
 Penyelia kad minyak Prasarana Malaysia Berhad Mohd Khairul (kiri) bersama adiknya Mohd Khairul semalam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap sembilan pertuduhan pecah amanah salah guna kad minyak milik syarikat Rapid Bas Kuantan pada Mei tahun lepas. — Gambar Bernama
BICARA: Penyelia kad minyak Prasarana Malaysia Berhad Mohd Khairul (kiri) bersama adiknya Mohd Khairul semalam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap sembilan pertuduhan pecah amanah salah guna kad minyak milik syarikat Rapid Bas Kuantan pada Mei tahun lepas. — Gambar Bernama

KUANTAN: Seorang penyelia kad minyak Prasarana Malaysia Berhad dan adik lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas sembilan pertuduhan pecah amanah dengan menyalahgunakan kad minyak milik syarikat Rapid Bas Kuantan pada Mei tahun lepas.

Khairulanuar Khairuddin, 34, dan adiknya Mohd Khairul Basha Khairuddin, 25, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Kedua-dua mereka didakwa menyalahgunakan lima kad Kad Inden Smart Pay Petronas milik syarikat Rapid Bas Kuantan untuk kegunaan sendiri itu antara  jam 7.55 malam sehingga 8.39 malam, 26 Mei tahun lepas di Stesen Minyak Petronas, SS Maju Raudhah, Bukit Pelindung, Kuantan.

Tindakan kedua-dua tertuduh yang telah ditangkap pada jam 10 malam pada hari yang sama itu telah menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian sebanyak 1,830 liter minyak diesel bernilai lebih RM2,836.

Pertuduhan ke atas dua beradik itu adalah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan serta denda.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Fadhly Mohd Zamry, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan kemudian menawarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 untuk setiap tertuduh sementara menunggu tarikh sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh kemudian merayu kepada mahkamah agar jumlah wang jaminan itu dikurangkan berikutan telah hilang punca pendapatan dan masing-masing mempunyai empat dan seorang anak yang perlu ditanggung selain isteri tidak bekerja.

Hakim kemudian menetapkan 6 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 seorang dengan seorang penjamin setiap seorang.

Kedua-dua tertuduh kemudian membayar wang ikat jamin masing-masing. — Bernama

Advertisement