Anda di sini

Dana khas RM5 juta untuk pembangunan wanita di Sabah

Advertisement
 Penerima dana khas merakam gambar kenangan bersama tetamu kehormat sambil menyempurnakan gimik sambutan Hari Ibu.
PEMBANGUNAN: Penerima dana khas merakam gambar kenangan bersama tetamu kehormat sambil menyempurnakan gimik sambutan Hari Ibu.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberi dana khas RM5 juta untuk pembangunan wanita di bawah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) sebagai tambahan peruntukan tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, peruntukan berkenaan diberikan secara berfasa kepada 90 persatuan wanita berdaftar di bawah JHEWA.

“Peruntukan ini dibahagi kepada tiga komponen atau penerima utama persatuan wanita melibatkan Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dan Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) di 25 parlimen serta ibu tunggal dan usahawan ibu tunggal yang berdaftar di bawah JHEWA.

“Ia selari hasrat kerajaan meletakkan pemerkasaan ekonomi wanita sebagai salah satu strategi dalam mempertingkat status ekonomi di negeri ini,” katanya pada Majlis Penyampaian Peruntukan Khas di bawah JHEWA di Wisma Wanita, kelmarin.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Musa berkata kerajaan juga menyokong perancangan Jhewa dalam membelanjakan peruntukan yang diluluskan untuk tujuan keusahawanan di samping program kesedaran, kepimpinan dan kemasyarakatan.

Menurutnya dengan penglibatan wanita dalam bidang perniagaan, ia mampu merealisasikan hasrat kerajaan untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan.

“Ia juga selari hasrat negara dalam RMK11 agar kadar penyertaan wanita dalam pasaran tenaga kerja dapat ditingkatkan daripada 54.3 peratus pada 2016 kepada 59 peratus menjelang 2020.

“Justeru, saya menyeru kepada golongan wanita supaya memiliki kegigihan, kecekalan, daya saing, daya maju dan kreativiti untuk menjadi usahawan yang berjaya,” katanya.

Terdahulu, setiap persatuan menerima sebanyak RM10,000 bagi melaksanakan projek atau aktiviti, manakala RM10,000 untuk pembiayaan projek persatuan yang boleh menjana pendapatan kepada ahli mengikut kertas kerja yang sudah dikemukakan kepada JHEWA.

Selain itu, beberapa usahawan ibu tunggal dan peserta kursus yang dilatih di bawah JHEWA turut menerima pemberian dana khas berkenaan berupa barangan dan peralatan perniagaan.

Advertisement