Anda di sini

Wabak taun, Huthi Yaman umum darurat

Pemberontak yang masih menguasai ibu negara menyeru bantuan segera antarabangsa

 Seorang kanak-kanak perempuan yang dijangkiti taun terlantar di atas lantai salah sebuah hospital di bandar pelabuhan Laut Merah Hodeidah, kelmarin. — Gambar Reuters
MELEBIHI KAPASITI: Seorang kanak-kanak perempuan yang dijangkiti taun terlantar di atas lantai salah sebuah hospital di bandar pelabuhan Laut Merah Hodeidah, kelmarin. — Gambar Reuters

SANAA: Pihak berkuasa di Sanaa, yang dikawal oleh pemberontak Huthi Syiah, mengumumkan perintah darurat berhubung wabak maut taun yang telah tersebar dengan pantas di ibu negara Yaman.

Kementerian kesihatan berkata, kes-kes taun semakin buruk dan ia tidak mampu mengekang bencana tersebut, menurut kenyataan kelmarin oleh agensi berita Saba.

Ia seterusnya melancarkan rayuan untuk bantuan daripada pertubuhan kema-nusiaan antarabangsa untuk menangani krisis tersebut.

Menteri Kesihatan Hafid Salem Mohammed berkata, skala wabak mengatasi kapasiti jabatannya, dalam kenyataan yang disiarkan televisyen Al-Masira.

Yaman kini bergelumang perang antara pemberontak Huthi yang disokong Iran dan kerajaan yang disokong Arab Saudi, di mana tidak sampai separuh kemudahan kesihatannya berfungsi setelah dua tahun konflik berlarutan.

Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) berkata kelmarin wabak taun itu telah membunuh 115 orang dan menyebabkan 8,500 lagi jatuh sakit dalam tempoh mulai 27 April hingga Sabtu.

Agensi bantuan antarabangsa kelmarin memberi amaran tentang malapetaka situasi kemanusiaan dan menggesa penduduk mengamalkan langkah berjaga-jaga untuk menjamin kebersihan.

Kita kini berdepan wabak taun yang amat serius,” kata pengarah operasi ICRC Dominik Stillhart pada sidang akhbar di Sanaa.

Pertubuhan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) meluahkan kebimbangan bahawa pihak berkuasa kesihatan sahaja tidak mampu menangani wabak tersebut.

MSF menyeru pertubuhan antarabangsa untuk meningkatkan bantuan mereka dengan segera bagi mengehadkan penularan wabak dan menjangka potensi berlakunya satu lagi wabak,” menurut kenyataan pertubuhan tersebut.

Hospital melebihi kapasiti dengan pesakit menunjukkan simptom taun, jangkitan bakteria menerusi pengambilan makanan atau minuman tercemar yang boleh menyebabkan kematian dalam tempoh beberapa jam sahaja sekiranya dibiarkan tidak dirawat, menurut Stillhart.

Satu katil menampung hingga empat pesakit taun.

Terdapat juga pesakit di taman, malah ada di dalam kereta dengan drip IV tergantung dari tingkap,” tambah beliau.

Krisis sampah gara-gara mogok gaji 10 hari oleh pengumpul sampah di Sanaa antara punca wabak tersebut, kata Stillhart.

Orang ramai di sekitar Sanaa memakai penutup hidung dan mulut untuk mengelak bau sampah-sarap mereput yang bertimbun di jalanan ibu negara.

Jameel Nashir, ketua kesihatan Yaman di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menyeru penduduk Yaman mengikuti garis panduan ketat seperti mencuci buah dan sayur dengan bersih.

Mereka juga harus mengelak mengambil makanan yang dibiarkan terdedah serta menggunakan air bersih dari sumber yang selamat dan jauh dari kawasan tercemar, tambahnya.

Data WHO menunjukkan bandar-bandar besar lain seperti Hodeidah, Taiz dan Aden turut terjejas wabak, selain wilayah sekitar Sanaa Amanat al-Semah.

WHO kini mengklasifika-sikan Yaman sebagai antara kecemasan kemanusiaan terburuk di dunia di samping Syria, Sudan Selatan, Nigeria dan Iraq.

Import makanan penting juga di paras terendah tatkala banyak pelabuhan di negara Laut Merah itu disekat.

PBB pula memberi amaran bahawa 17 juta orang atau dua pertiga populasi berdepan risiko ketara kebuluran di Yaman.

Selain itu, sekurang-kurangnya tiga juta kanak-kanak kekurangan zat kini berdepan bahaya kematian, tambah PBB. — AFP