Anda di sini

Tangkap harimau Sumatera, dua lelaki ditahan

 Gambar serahan polis semalam yang dirakam kelmarin menunjukkan beberapa anggota membawa kulit harimau di Argamakmur, Bengkulu Utara. — Gambar AFP
HASIL RAMPASAN: Gambar serahan polis semalam yang dirakam kelmarin menunjukkan beberapa anggota membawa kulit harimau di Argamakmur, Bengkulu Utara. — Gambar AFP

BENGKULU: Pihak berkuasa Indonesia menahan dua lelaki yang disyaki memburu secara haram harimau Sumatera, selain merampas kulit dan tulang haiwan yang hampir pupus itu, menurut pegawai taman negara semalam.

Awaludin dan Sabian ditahan Sabtu lepas oleh pihak polis dan renjer hutan di sebuah kampung di daerah Bengkulu Utara, pulau barat Sumatera.

Pihak berkuasa bertindak berdasarkan maklumat daripada penduduk kampung yang menyatakan kedua-dua lelaki terbabit kerap memburu spesies yang dilindungi itu yang menghuni Taman Negara Kerinci Seblat yang amat luas, dipercayai mencecah 150 ekor.

Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semulajadi mengklasifikasikan harimau Sumatera sebagai diancam kepupusan kritikal dan menganggarkan lebih kurang 440 ekor masih wujud di belantara.

Kami mengekori lelaki tersebut sepanjang hari selepas mendapat maklumat dan menahan mereka lewat Sabtu lepas,” menurut ketua taman negara Arief Tongkagie.

Mereka membawa kulit dan tulang harimau yang diawetkan.”

Kedua-dua pemburu haram itu yang berusia 40-an, masih disoal siasat oleh pihak polis.

Mereka akan berdepan dengan hukuman penjara hingga lima tahun sekiranya didapati bersalah kerana melanggar undang-undang yang melindungi haiwan diancam bahaya.

Pihak polis turut menyiasat sama ada mereka adalah sebahagian daripada sindiket lebih besar pemburuan haram hidupan liar.

Memburu secara haram merupakan sebab utama kemerosotan pantas populasi harimau Sumatera.

Bahagian badan haiwan tersebut digunakan dalam perubatan tradisional Asia dan mencecah harga yang tinggi dalam pasaran gelap.

Selain diburu, haiwan tersebut turut berdepan ancaman kepupusan akibat kemusnahan habitat hutan hujan mereka bagi memberi ruang kepada perladangan kelapa sawit dan kertas.

Harimau Sumatera adalah spesies harimau yang paling kecil dan mudah dibezakan melalui belang hitam yang lebih tebal pada bulu jingganya. — AFP