Anda di sini

Sabah terus bantu wanita libatkan diri dalam perniagaan

Advertisement

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus membantu golongan wanita melibatkan diri dalam perniagaan bagi merealisasikan hasrat negara untuk meningkatkan lebih ramai penyertaan golongan itu dalam bidang keusahawanan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata usaha itu selari dengan sasaran negara menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) untuk meningkatkan kadar penyertaan wanita dalam pasaran kerja kepada 59 peratus menjelang 2020.

Untuk menjadi usahawan yang berjaya, wanita harus memiliki kegigihan, kecekalan daya saing, daya maju dan kreatif.

Kerajaan tetap membantu dan membimbing anda (wanita). Tunjukkanlah usaha, kesungguhan dan semangat untuk berjaya,” katanya pada majlis penyampaian peruntukan khas kepada badan dan persatuan wanita di Sabah di sini semalam.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Musa berkata sebanyak RM5 juta diluluskan bagi membantu golongan wanita di negeri ini dan akan dibahagikan kepada tiga komponen atau penerima utama badan dan persatuan wanita.

Beliau berkata ia melibatkan Majlis Penasihat Wanita Sabah, Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga di 25 kawasan Parlimen serta persatuan ibu tunggal dan usahawan ibu tunggal yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Negeri.

Sebanyak 90 persatuan wanita menerima peruntukan khas itu secara berperingkat bagi melaksanakan program dan aktiviti masing-masing, termasuk membiayai projek persatuan yang boleh menjana pendapatan kepada anggota, katanya.

Usahawan ibu tunggal dan peserta kursus yang dilatih di bawah JHEWA turut menerima bantuan khas dalam bentuk barangan dan peralatan perniagaan. — Bernama

Advertisement