Anda di sini

Polis selesai dua kes samun kedai runcit di Keningau

Advertisement
 Ahmad (tengah) bersama Lee (kiri) dan Danny (kanan) menunjukkan senjata yang diguna oleh suspek ketika melakukan kes samun.
SELESAI: Ahmad (tengah) bersama Lee (kiri) dan Danny (kanan) menunjukkan senjata yang diguna oleh suspek ketika melakukan kes samun.

KENINGAU: Polis berjaya menyelesaikan dua kes samun kedai runcit di sini dengan penahanan lima suspek lelaki, termasuk seorang warga asing.

Tiga daripada suspek berusia 19 dan 28 tahun dari Kota Marudu, Manggatal dan Papar ditahan pada Jumaat manakala dua lagi suspek tempatan ditahan pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Ahmad Jawila berkata dalam sidang media pada Sabtu, seorang gadis berumur 16 tahun telah  membuat laporan polis pada 11 Mei selepas disamun tiga lelaki bersenjatakan parang di sebuah kedai runcit di One Plaza sekitar jam 8.30 malam.

Beliau berkata siasatan polis di tempat kejadian mendapati bahawa kedai runcit itu baharu dibuka dan tidak mempunyai CCTV.

Gadis itu dapat mengenali dua daripada suspek kerana mereka telah datang ke kedai sebelum ini untuk membeli barang,” katanya sambil menambah, kerugian daripada rompakan itu adalah kira-kira RM3,450.

Ahmad berkata pengadu dan ibu saudaranya telah menjaga kedai apabila salah seorang suspek tiba-tiba datang ke arahnya dan memegang tangannya sambil mengacukan parang pada lehernya.

Katanya pengadu menjerit meminta tolong dan cuba untuk melarikan diri. Semasa pengadu berlari kepada ibunya yang berada di kedai sebelah, suspek menarik mesin tunai dan mengambil telefon bimbit pengadu di atas meja.

Ibu mangsa sempat memukul cermin kereta Gen 2 suspek se-hingga retak tetapi mereka berjaya melarikan diri dan menuju ke arah Apin-Apin,” katanya.

Katanya, polis peronda telah mengesan kereta suspek pada jam 10.22 malam hari yang sama lalu mengejar suspek. Ketiga-tiga suspek meninggalkan kereta berhampiran balai raya sebuah kampung di Tambunan dan melarikan diri ke dalam hutan.

Kawasan hutan itu telah dikepung oleh anggota cawangan Jabatan Siasatan Jenayah dan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau dan Balai Polis Tambunan dengan dibantu oleh Cawangan D9 dan K9 (anjing pengesan) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah yang digerakkan untuk menjejaki dan menangkap suspek.

Ahmad berkata kesemua suspek ditahan di dalam hutan berhampiran Kampung Purutan pada 12 Mei dan polis turut merampas sebuah kereta Proton Gen 2, peti wang tunai, parang, kapak, tukul, telefon bimbit, beg tangan, pakaian dan banyak lagi.

Ketiga-tiga suspek juga terlibat dalam rompakan berkumpulan bersenjata tajam di sebuah kedai runcit 24 jam di sini pada 10 Mei.

Katanya kesemua suspek dan barang rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau untuk siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Siasatan mendapati kenderaan yang digunakan oleh suspek mempunyai nombor plat palsu dan dilaporkan hilang di Inanam pada 3 Mei tahun ini.

Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Akta Dadah Berbahaya kerana didapati positif dadah,” katanya.

Hadir sama pada sidang media itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah ASP Lee Nyuk Kim dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti ASP Mohd Danny Abdullah.

Advertisement