Presiden China seru keterbukaan semua dalam menghadapi krisis ekonomi global
BEIJING: Presiden China Xi Jinping menggesa para pemimpin dunia agar menolak sikap melindungi semalam dalam satu persidangan yang menganjak Beijing sebagai juara globalisasi, ketika beberapa negara menimbulkan kebimbangan mengenai cita-cita dagangannya.
Xi berucap di hadapan hampir 30 pemimpin pada hari kedua forum mengenai rancangan baharu bagi Jalan Sutera, projek infrastruktur yang diharapkan Beijing akan mengembalikan laluan perdagangan purba dari Asia ke Eropah dan Afrika itu.
“Kita perlu mendapatkan keputusan melalui sikap keterbukaan yang lebih meluas dan kerjasama, merangsang permulaan baharu bagi kerjasama dan menolak susunan eksklusif dan sikap melindungi,” Xi memberitahu para pemimpin Sepanyol, Turki, Rusia, Pakistan dan lain-lain di pusat konvensyen berhampiran Tembok Besar, pinggir Beijing.
Pemimpin China itu menggunakan perhimpunan antarabangsa tersebut untuk mempromosikan jaminannya bagi projek polisi asing itu yang digelar sebagai inisiatif ‘One Belt, One Road’.
Ketika pembukaan mesyuarat kelmarin, Xi berikrar menyuntik tambahan AS$124 bilion dalam projek yang dibiayai China, yang melibatkan rangkaian besar pelabuhan, landasan kereta api, jalan raya dan taman perindustrian.
Bank Pembangunan China mencadangkan AS$890 bilion bagi kira-kira 900 projek.
Inisiatif tersebut yang melibatkan 65 negara mewakili 60 peratus populasi dunia dan kira-kira satu pertiga hasil pendapatan bersih global.
China mempertahankan globalisasi tatkala Amerika Syarikat (AS) menarik diri ke dalam polisi ‘America First’ dalam hubungan luar negara dan dagangan di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump.
Ketika ada pihak melihat projek Beijing sebagai peranan kuasa geopolitik, Xi mene-gaskan ‘One Belt, One Road’ terbuka kepada semua.
“Dalam dunia yang melibatkan pembangunan, kebergantungan di antara satu sama lain dan cabaran, tiada negara boleh menangani cabaran atau menyelesaikan masalah dunia itu secara sendirian,” jelas beliau yang duduk bersama Presiden Rusia Vladimir Putin.
Putin dan para pemimpin yang lain, termasuk Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, memuji inisiatif tersebut yang didedahkan Xi pada 2013.
“Pada masa ini, ketika keinginan membuak untuk memberikan respons kepada krisis globalisasi dengan meningkatkan pemencilan, dan dengan menaikkan tembok, inisiatif ini menunjukkan visi rangkaian, kerjasama dan dialog di sekitar Eropah dan Asia, serta bahagian lain di dunia ini,” Perdana Menteri Greece Alexis Tsipras berkata kelmarin.
Menteri Kewangan British Philip Hammond menyatakan London telah bersedia untuk bekerja dengan semua negara rakan bagi menjayakan inisiatif tersebut.
Namun ada pihak berpendapat berjaga-jaga.
Menteri Ekonomi Jerman Brigitte Zypries memohon ketelusan untuk memastikan bahawa permintaan bagi usaha pelaburan bukan bersifat diskriminasi.
Beberapa projek ‘One Belt, One Road’ telahpun meningkatkan kebimbangan di beberapa negara tertentu.
India tidak menghadiri persidangan tersebut setelah menyuarakan rasa kurang gembira terhadap Koridor Ekonomi China-Pakistan, salah satu projek ‘One Belt, One Road’ bertujuan menghubungkan barat laut China hingga ke Laut Arab.
Laluan itu merentasi Gilgit dan Baltistan di Kashmir yang ditadbir Pakistan, wilayah rebutan yang menurut India telah ditakluki. — AFP