Anda di sini

Azizah saran ahli PERWANI lebih proaktif bantu masyarakat setempat

Advertisement
 Azizah bersama tetamu kehormat yang lain memotong kek bagi meraikan sambutan Hari Ibu.
RAI BERSASMA: Azizah bersama tetamu kehormat yang lain memotong kek bagi meraikan sambutan Hari Ibu.

BEAUFORT: Selaras usaha memperkukuh kesatuan masyarakat setempat, ahli komuniti Perwani 1Malaysia disaran mengadakan lebih banyak program di kawasan masing-masing walaupun pada skala kecil.

Ketika membuat saranan itu, Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata konsep ‘misompuru’ iaitu kesatuan dan kebersamaan wajar diterapkan dalam masyarakat.

Katanya apabila masyarakat misompuru atau bersatu dalam apa jua usaha, maka ia akan membawa hasil dan manfaat yang berguna kepada semua.

Begitulah juga dalam agenda pembangunan kerajaan, kesatuan rakyat penting untuk memudahkan pelaksanaan setiap program yang dirancangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Keluarga Perwani Gabungan Kawasan Jempangah dan Halogilat di sini, kelmarin.

Sambil memuji usaha dan inisiatif Perwani mengadakan program itu, Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort mahu penggeraknya sentiasa proaktif dalam membantu serta menangani isu setempat di peringkat kampung.

Beliau mahu Perwani berganding bahu dengan pimpinan akar umbi termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam usaha memajukan masyarakat dan kampung.

Ia selaras dengan fungsi ahli komuniti Perwani 1Malaysia sebagai agen transformasi di peringkat komuniti, memberi maklumat dan meningkatkan kefahaman kepada masyarakat mengenai hala tuju kerajaan, serta menjadi kumpulan jaringan wanita yang mengamalkan amalan pengurusan terbaik.

Azizah berkata ahli Perwani menggalas tugas dan tanggungjawab besar dalam membantu kerajaan walaupun mereka terdiri kumpulan kecil.

Malah, katanya, mereka lebih bersikap teliti dalam melihat keperluan dan permasalahan penduduk, justeru tindakan mereka menjadi lebih berkesan.

Dalam pada itu, beliau menyarankan Perwani Gabungan Kawasan Jempangah dan Halogilat untuk mengenal pasti bidang perusahaan kecil-kecilan yang boleh diterokai dan dikomersilkan bagi manfaat penduduk.

Beliau mengambil contoh penghasilan produk kraftangan tempatan yang boleh menjana ekonomi pengusaha, selain dapat menyumbang kepada sektor pelancongan.

Sempena majlis itu, pelbagai acara diadakan sebagai pengisian, termasuk pertandingan melukis dan fesyen selain acara cabutan tiket bertuah.

Turut diadakan pemotongan kek sempena sambutan Hari Ibu serta penyampaian sumbangan kepada ahli Perwani setempat.

Advertisement