Anda di sini

Akibat tipu diculik, suri rumah dipenjara tiga bulan

Advertisement
 Nurfauzilah dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Batu Gajah semalam atas pertuduhan membuat laporan palsu kononnya dia diculik pada 3 Mei lepas. — Gambar Bernama
TERIMA HUKUMAN: Nurfauzilah dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Batu Gajah semalam atas pertuduhan membuat laporan palsu kononnya dia diculik pada 3 Mei lepas. — Gambar Bernama

BATU GAJAH: Seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Batu Gajah di sini semalam atas pertuduhan membuat laporan palsu kononnya dia diculik pada 3 Mei lepas.

Tertuduh Nurfauzilah Ariffin, 39, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadaruddin.

Mahkamah memerintahkan supaya wanita yang bekerja sambilan sebagai peniaga dalam talian itu dipenjara dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 9 Mei lepas.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa menghantar pesanan suara meminta tolong melalui aplikasi WhatsApp, dan menghantar melalui Messenger Facebook miliknya dengan memberitahu dia berada dalam penguasaan seseorang dalam tulisan bahasa Indonesia kepada suaminya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah pada jam 7.30 malam, 3 Mei lalu.

Perbuatan ibu kepada enam orang anak itu menyebabkan satu laporan polis dibuat oleh suaminya di IPD yang sama keesokannya.

Hasil siasatan mendapati wanita tersebut melakukan perbuatan itu sedangkan dia sebenarnya telah pergi ke Shah Alam, Selangor dan mendapat pekerjaan di sebuah taska.

Dia membuat cerita palsu bahawa dirinya diculik bertujuan menghilangkan diri sementara waktu kerana mempunyai masalah hutang.

Setelah kes itu tular di Facebook, tertuduh ditangkap di taska berkenaan atas maklumat orang awam pada 9 Mei lepas.

Pendakwaan kes itu dibuat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala  tertuduh diwakili Hennie Soraya Hanafi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. — Bernama

Advertisement