Anda di sini

2017SMK Agama Sibu memerlukan RM800,000 bina dewan sekolah

Advertisement
 (Dua dari kanan) Hosmawati, Salemah, Abdul Mutalib dan Jason melakukan perasmian Majlis Makan Malam Amal PIBG SMK Agama Sibu.
SIMBOLIK: (Dua dari kanan) Hosmawati, Salemah, Abdul Mutalib dan Jason melakukan perasmian Majlis Makan Malam Amal PIBG SMK Agama Sibu.

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sibu memerlukan kira-kira RM800,000 untuk membina sebuah dewan sekolah baharu untuk aktiviti pembelajaran dan kokurikulum.

Sehubungan itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Agama Sibu mengadakan Majlis Makan Malam Amal

baru-baru ini bagi mengumpul dana untuk merealisasikan impian tersebut.

Pengetuanya, Hosmawati Bairi ketika ditemui pada majlis itu berkata SMK Agama Sibu merupakan satu-satunya sekolah agama di sini namun masih belum mempunyai dewan tertutup selesa untuk pelajarnya.

Menurut beliau, SMK Agama Sibu wujud pada 1985 mempunyai sebuah dewan pada masa kini tetapi hanya dataran terbuka.

Dewan itu kita gunakan untuk perhimpunan rasmi setiap minggu. Apabila waktu hujan, dewan menjadi padat dan pelajar terkena tempias hujan justeru mengganggu aktiviti sekolah.

Sebab itu, kita mencemburui sekolah-sekolah lain yang ada di sini kerana sudah mempunyai dewan yang selesa,” katanya.

Hosmawati memberitahu, beliau telah menghantar kertas cadangan kepada Kerajaan Persekutuan memohon peruntukan membina dewan itu.

Katanya, pihak sekolah kini hanya menunggu maklum balas daripada Kerajaan Persekutuan dan berharap dewan tersebut dapat dibina tahun ini.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SMK Agama Sibu Mohd Safree Mohd berkata majlis itu berjaya mengumpul dana sejumlah RM80,000 hasil daripada jualan 80 buah meja.

Ini menjadikan jumlah dana terkumpul kini kira-kira RM100,000 termasuk sumbangan wakil rakyat, badan-badan korporat dan individu persendirian,” katanya.

Beliau berharap lebih ramai pihak luar membantu merealisasi impian SMK Agama Sibu mempunyai sebuah dewan baharu.

Hadir sama Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sibu Salemah Chali, bekas YDP SMK Agama Sibu Abdul Mutalib Rashid merangkap pengerusi pengelola, Pengarah Urusan Pansar Datuk Jason Tai dan Penolong Penyelia Unit Pendidikan Islam Daerah Sibu Mohd Rizal Basirun.

  • oleh
  • Advertisement