Anda di sini

Zahid yakin BN mampu rampas kerusi DUN Pujut daripada pembangkang

Advertisement

BEAUFORT: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin Barisan Nasional (BN) mampu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut di Sarawak daripada pembangkang sekiranya pilihan raya kecil diadakan untuk kerusi berkenaan.

Beliau berkata sekiranya BN berjaya merampas kerusi berkenaan kelak, ia akan menambah bilangan kerusi DUN BN Sarawak kepada 73 berbanding 72 kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya negeri lalu.

"Insya-Allah di (DUN) Pujut akan berlaku pilihan raya kecil. Insya-Allah kita (BN) akan dapat 73 kerusi daripada 83 kerusi (DUN Sarawak)," katanya ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dataran Bagandang, dekat sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Anggota Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun dan Ketua UMNO Bahagian Beaufort Datuk Isnin Aliasnih,

Pada 12 Mei lepas, DUN Sarawak melucutkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon daripada DAP sebagai ADUN Pujut selepas usul dibuat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang negeri Datuk Woon Soon Koh yang juga ADUN Bawang Assan kerana Ting mempunyai dua kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Australia.

Usul itu diluluskan selepas mendapat sokongan 70 anggota DUN manakala 10 yang lain membantah.

Menurut Ahmad Zahid, kejayaan BN untuk menang besar dalam pilihan raya negeri Sarawak yang lalu adalah hasil komitmen kepimpinan BN negeri dan pusat, termasuk beliau yang turun ke Sarawak sekali dalam dua minggu untuk membantu rakyat Sarawak.

Justeru, timbalan perdana menteri berkata, pada pilihan raya umum akan datang, tidak mustahil Sabah juga boleh mencapai keputusan lebih baik berbanding keputusan pilihan raya umum lalu berdasarkan komitmen yang ditunjukkan kerajaan persekutuan terhadap Sabah serta sokongan padu rakyat negeri itu.

"Kita akan pastikan sesiapa sahaja individu atau parti yang cuba menongkah arus UMNO dan Barisan Nasional, kita akan kecundangkan mereka dalam pilihan raya umum akan datang. Hanya mereka (pemimpin) yang ada daya tahan, daya saing dan daya juang sahaja yang akan berjaya," kata Ahmad Zahid. - BERNAMA

Advertisement