Anda di sini

Peniaga dihukum mati

MUAR: Seorang peniaga dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis pada Mac tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Hairul Fazli Mokhtar, 36, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kedai Runcit Toh, No. 2 Bawah, Jalan Bukit Treh di sini pada kira-kira 3 petang, 3 Mac tahun lepas mengikut Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Anggota keluarga tertuduh termasuk isterinya yang hadir di mahkamah dilihat mengesat air mata sepanjang prosiding itu manakala tertuduh kelihatan lemah di kandang tertuduh.

Dalam penghakimannya, Muhammad Jamil berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan tertuduh mempunyai milikan terhadap dadah berbahaya tersebut.

"Tiada alasan munasabah untuk mengatakan bahawa dadah kanabis berkenaan bukan milik tertuduh. Tertuduh gagal mematahkan anggapan pemilikan," katanya.

Sebanyak enam saksi pihak pendakwaan dan dua saksi pihak pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.

Tertuduh diwakili peguam Lydiana Mansor manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shukri Hussain. - BERNAMA