Anda di sini

IKM Bintulu mampu lahir tenaga penuhi pasaran minyak dan gas

Advertisement

BINTULU: Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu mampu menyedia asas kemahiran tinggi membabitkan latihan industri minyak dan gas berdasarkan maklum balas positif hasil kerjasama dengan pemain industri berkenaan.

Pengarah IKM Bintulu, Dr Mohd Nawawi Omar berkata, kemampuan itu berdasar kelebihan memiliki tenaga pensyarah berpengalaman dan berkemahiran dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menekan proses pembelajaran teori dan amali.

Selain itu katanya, ia juga memiliki kemudahan bengkel, makmal moden seperti ‘Oil Plant Production, Pressure Regulating Skid, Distributed Control System, Fabrication Yard’ dan sebagainya mengikut keperluan industri masa kini.

Kurikulum direka dan dibangun juga berunsur tiga teras utama iaitu menghasil graduan berketrampilan ‘hands’on’ dalam bidang minyak dan gas, diterima industri dan mudah mengadaptasi diri dengan kerja serta mempunyai sifat, semangat keusahawanan, jati diri serta integriti tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan di Majlis Konvokesyen IKM Bintulu Kali Ke-3 di Dinner World, Bintulu Sentral semalam.

Dr Mohd Nawawi berkata,  pendekatan latihan bagi setiap kursus dijalankan di IKM Bintulu berdasarkan format ditetapkan agensi dan badan pengiktirafan di Malaysia seperti Malaysian Quality Accreditation (MQA), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan badan profesional lain iatu Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Electrical Inspectorate Unit (EIU).

Katanya, program ditawar bagi memenuhi keperluan industri semasa serta memberi penekanan konsep keusahawanan kepada para pelajar.

Justeru katanya, persediaan segi intelektual diperolehi sepanjang graduan mengikuti pengajian di IKM Bintulu perlu diguna sebaiknya untuk menjana aspek pembangunan negara sama ada dari sudut ekonomi, politik mahupun sosial.

Dalam pada itu katanya, melihat kepada pelan rancangan pembangunan negara bagi tempoh 2016-2020, TVET akan menjadi platform penting meningkat jumlah tenaga kerja mahir menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.

Katanya, pelbagai langkah  dikemuka kerajaan untuk pembangunan serta pengukuhan aspek teknikal dan vokasional ini.

Terdahulu seramai 184 graduan menerima sijil termasuk 15 graduan menerima anugerah khas dalam lima program pengajian iaitu Sijil Teknologi Kejuruteraan Fabrikasi Perpaipan, Sijil Teknologi Kejuruteraan Fabrikasi Struktur, Sijil Teknologi Kejuruteraan Intsrumentasi dan Kawalan Loji, Sijil Teknologi Kejuruteraan Operasi Loji dan Sijil Teknologi Kejuruteraan Pemasangan Elektrik.

Graduan Terbaik Keseluruhan sesi Januari-Jun 2016 ialah Aiman Khair Ibrahim dan Mohd Asnawi Nain (Julai-Disember 2016).

Diikuti Anugerah Graduan Terbaik Program 2016 diraih oleh Felix Farrel Francis, Dayang Nur Atikah Awang Rafaie, Hillary Lenteng Mail, Aiman Khair Ibrahim, Muhammad Nur Hasif Sajali, Mohd Asnawi Nain, Christopher Eli, Dino August dan Mohammad Nizam Sukasno.

Anugerah Khas Industri 2016 pula diterima oleh Syeful Azlan Sarkawi Mahmud, Eric Chia Mau, Sheila Ulat Lidin dan Alfred Kuan Hua.

Advertisement