Anda di sini

TLDM tingkatkan kawalan keselamatan Sabah, S’wak

Advertisement
 Zahiruddin merakamkan gambar kenangan bersama Rahman (kiri) dan Saifudin serta anggota Armada Timur, kelmarin.
WIRA NEGARA: Zahiruddin merakamkan gambar kenangan bersama Rahman (kiri) dan Saifudin serta anggota Armada Timur, kelmarin.

KOTA KINABALU: Markas Pemerintahan Armada Timur akan menerima dua kapal peronda Kelas Kedah dan empat kapal baharu jenis Littoral Mission Ship (LMS) untuk menjalankan operasi di lautan.

Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Pahlawan Syed Zahiruddin Putra Syed Osman berkata penambahan kapal di Malaysia Timur adalah selari dengan Pelan Transformasi 15 to 5 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Kita akan menempatkan semua kelas kapal di satu lokasi dan tindakan ini adalah satu konsep yang memudahkan kerja penyelenggaraan kapal dalam satu pangkalan.

“Usaha ini juga bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan aset di Malaysia Timur bagi bersama-sama agensi penguat kuasa lain membanteras jenayah di perairan kita,” katanya pada sidang media selepas Perbarisan dan Perutusan Ulung Panglima Armada Timur di Pangkalan TLDM Sepanggar, di sini, kelmarin.

Turut hadir ialah Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob dan Timbalan Panglima Armada Timur Laksamana Pertama Datuk Saifudin Kamarudin.

Zahiruddin berkata, Armada Timur kini sudah mempunyai empat kapal Kelas Kedah dan dijangka awal tahun depan TLDM akan menempatkan dua lagi kapal sama di Armada Timur dan menjadikan enam kapal Kelas Kedah keseluruhan.

Beliau bagaimanapun berkata, penempatan kapal itu akan dilakukan sebaik pihaknya menyelesaikan masalah perumahan warga di kawasan Kota Kinabalu dan Sandakan.

“Apabila kita sudah mendapatkan perumahan di sini maka kita akan pindahkan aset yang sudah disiapkan ke sini dan pada masa sama kita harus menentukan kesejahteraan warga dapat dijaga dengan baik bersesuaian dengan konsep TLDM,” katanya.

Menurutnya empat kapal baharu jenis LMS yang ditandatangani dengan pihak China juga akan ditempatkan secara lansung di markas itu sebaik siap kelak.

“Saya difahamkan kapal baharu jenis LMS akan siap dalam tempoh dua tahun setengah dari sekarang dan apabila siap kelak kapal pertama akan terus ditempatkan di sini,” katanya.

Sementara itu, Zahiruddin berkata fokus tugas Armada Timur berperanan untuk berganding bahu dan bekerjasama dengan agensi maritim tempatan termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Marin (PGM), Jabatan Perikanan dan juga Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sendiri.

“Kita juga akan melaksanakan operasi khusus TLDM merangkumi Sabah dan Sarawak dan kita akan mewujudkan pangkalan TLDM baharu di Bintulu yang akan dinamakan Markas Wilayah Laut 4, yang akan melengkapkan pemerintahan Armada Timur,” katanya.

Beliau juga mengharapkan agar Armada Timur akan memastikan keselamatan maritim di Sabah dan Sarawak akan terus terpelihara dan terjamin.

Advertisement