Anda di sini

Rasuah: Pengusaha kilang bakeri dihukum penjara sehari

Advertisement

KUCHING: Seorang pengusaha kilang bakeri dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM10,000 atau dua bulan penjara jika gagal berbuat demikian kerana memberi rasuah RM1,500 kepada seorang pegawai penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Hakim Mahkamah Sesyen Nixon Kennedy Kumbong menjatuhkan hukuman itu kepada Phang Tze Sin, 41 tahun, selepas beliau mengaku bersalah atas tuduhan terhadapnya semalam.

Phang melakukan kesalahan itu pada 21 Disember tahun lepas kira-kira jam 12.30 tengah hari di kilang Suria Ceria Industry Sdn Bhd Jalan Stakan Melayu, Stakan Jaya.

Wang itu diberikan sebagai dorongan untuk memujuk pegawai tersebut daripada mengambil tindakan undang-undang terhadapnya, yang didakwa memiliki barang terkawal iaitu gula, minyak masak dan tepung, tanpa permit sah yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali jumlah suapan yang diterima atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Pegawai pendakwaan SPRM Katherine Nais menuntut hukuman sewajarnya mengambil kira sifat kesalahan yang dibuat, kepentingan awam dan keseriusan jenayah yang dilakukan.

Phang adalah antara lima orang yang didakwa di mahkamah kerana menerima rasuah dalam beberapa kes berasingan.

Empat tertuduh iaitu Ting Heng Chuong, 50, Ling Mee Liong, 61, Eng Chong Kok,40, dan Ngu Ho Woon, 58, memohon dibicarakan bagi tuduhan yang didakwa terhadap mereka.

Mereka dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu sebutan lanjut kes mereka.

Ting dan Ngu masing-masing didakwa memberi RM2,000 kepada seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Negeri sebagai dorongan untuk memujuk mereka agar tidak mengambil tindakan terhadap pekerja asing mereka yang disyaki tidak memiliki permit kerja yang sah.

Ling dan Eng, yang didakwa bersama, turut didakwa melakukan kesalahan yang sama dan menawarkan RM15,000 kepada seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Negeri.

Semua tertuduh tidak diwakili.

Turut mendakwa kes tersebut adalah pegawai SPRM Mohd Asri Abu Mansor.

Kesemua mereka adalah antara 15 orang yang didakwa di mahkamah di seluruh negara semalam kerana memberi rasuah sebagai sebahagian daripada kempen ‘Gerakan Revolusi Anti Rasuah’ (GERAH) yang dilancarkan oleh suruhanjaya itu pada Isnin lepas.

Advertisement