Anda di sini

Penganggur dipenjara enam bulan, denda RM10,000 beri suapan RM101

Advertisement

SEREMBAN: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas kesalahan memberi suapan berjumlah RM101 kepada seorang anggota sukarelawan polis, tahun lepas.

Hakim Fathiyah Idris menjatuhkan hukuman tersebut selepas Mohamad Daud Abdullah, 53, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa.

Mengikut fakta kes, Mohamad Daud didakwa memberikan suapan itu kepada Konstabel Peh Chee Chong sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana berkelakuan tidak senonoh di tempat awam bersama seorang wanita.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Jalan S2 G2 Garden Avenue, Seremban 2, di sini, pada jam 11.20 malam, 9 Jun tahun lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Karmila Mokhtar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan enam bulan sekiranya gagal membayar denda selain wang suapan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia. — Bernama

Advertisement