Anda di sini

Pembunuh budak Taiwan dipenjara seumur hidup

Advertisement

TAIPEI: Seorang lelaki Taiwan menghidap schizophrenia yang memenggal kepala seorang budak perempuan berusia tiga tahun di khalayak ramai di jalan raya sibuk Taipei terlepas dari hukuman mati semalam apabila dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup bagi apa yang dinyatakan oleh mahkamah sebagai satu jenayah yang “mengerikan”.

Wang Ching-yu, 34, me-ngaku bersalah kerana membunuh kanak-kanak dalam jenayah yang mengejutkan pulau yang biasanya aman selepas mengatasi ibunya berhampiran sebuah stesen metro.

Dia memancung kepala budak perempuan itu dengan pisau pemotong ketika orang ramai yang ketakutan cuba untuk menghalangnya.

Wang memberitahu mah-kamah dia mengalami halusinasi bahawa dia adalah seorang maharaja China dari wilayah Sichuan dan mempercayai tindakan membunuh budak perempuan itu akan membawa kepadanya gundik bagi “meneruskan keturunan keluarganya”, menurut laporan.

Ketika ditanya di mahkamah sekiranya dia tahu kenapa pembunuhan itu adalah salah, dia hanya menyatakan dia tahu dia telah melakukan kesilapan kerana tiada wanita Sichuan yang tampil ke depan untuk mengandungkan anaknya selepas pembunuhan itu.

Pendakwa raya mengecam jenayah itu sebagai “sangat kejam” dan menuntut hukuman mati.

Namun hakim Tsai Shou-hsun memberitahu mah-kamah daerah Taipei semalam bahawa sebaliknya dia akan dipenjarakan seumur hidup kerana dia mengalami “kecacatan mental”.

Memakai kaca mata berangka hitam, sepasang baju-T putih dan seluar sukan, kepalanya dibotakkan, Wang kekal tenang ketika dia mendengar keputusan ter-sebut, memberikan respons: “Saya faham.”

Keluarga mangsa tidak hadir di mahkamah.

Dalam satu kenyata-an selepas keputusan itu, mahkamah menyatakan keputusan adalah sejajar dengan perjanjian rasmi hak asasi manusia antarabangsa bagi melindungi penghidap schizophrenia dan halusinasi.

Ia menyatakan Wang dibuang sekolah dan telah menjalani pemulihan untuk ketagihan dadah, tetapi suka menyendiri dan terasing, menyebabkannya mengalami schizophrenia dan halusinasi. 

Bagaimanapun, kenyataan turut menyifatkan pembunuhan sebagai “terlalu kejam”, sambil menambah bahawa Wang mengetahui pembunuhan itu melanggar undang-undang dan telah mengelak pengawasan untuk melakukan jenayah itu.

“Dia tidak menunjukkan empati dan kekesalan, dan selepas penilaian peluang bagi melakukan jenayah lagi adalah masih tinggi,” jelas kenyataan tersebut.

Taiwan mengembalikan hukuman mati pada 2010 selepas penghentian selama lima tahun.

Hukuman mati disediakan bagi jenayah serius seperti pembunuhan yang dirancang.

Beberapa ahli politik dan kumpulan hak asasi telah menyeru bagi pemansuhannya, namun tinjauan pelbagai pendapat menunjukkan sokongan majoriti untuk hukuman mati.

Selepas tindakan pemenggalan kepala pada Mac tahun lepas, ratusan penduduk Taiwan, ramai yang berpakaian serba hitam dan memakai pelekat bertulis “Hukuman mati adalah perlu,” menyeru agar Wang dihukum mati.

Pembunuhan berlaku kurang dari setahun selepas leher seorang budak perempuan berusia lapan tahun dikelar di dalam tandas sekolahnya di Taipei. Ia telah menimbulkan kemarahan orang awam yang meluas dan perdebatan baharu mengenai hukuman mati.

Pendakwa raya dalam kes Wang menyatakan semasa perbicaraan bahawa dia harus dihukum mati selepas laporan psikiatrik mendapati dia cukup waras untuk bertanggungjawab bagi tindakannya.

Namun pembelanya mene-gaskan bahawa Wang meng-alami masalah mental, seharusnya dijatuhkan hukuman penjara dengan tempoh yang terhad atau dihantar bagi mendapatkan rawatan, lapor media tempatan.

Polis menyatakan dia sebelum ini ditangkap bagi jenayah yang berkaitan dengan dadah. Dia juga diserang oleh kumpulan orang ramai yang berang ketika berada dalam tahanan. — AFP

Advertisement