Anda di sini

Gawai wadah menyatukan rakyat pelbagai kaum

Advertisement
 Perbezaan agama dan bangsa bukan halangan untuk meraikan Gawai bersama.
DIRAI BERSAMA: Perbezaan agama dan bangsa bukan halangan untuk meraikan Gawai bersama.

SAMA seperti perayaan lain disambut di negara ini, Gawai Dayak pada 1 Jun setiap tahun diraikan oleh semua kaum tanpa mengira agama dan ideologi politik.

Sebelum Sarawak merdeka dan kebanyakan kaum Dayak belum menganut agama Kristian, sambutan Gawai Dayak disambut pada tarikh berbeza serta sarat dengan upacara ritual yang menetapkan banyak pantang larang bagi tempoh tertentu.

Keadaan itu mengehadkan ia hanya kepada komuniti Dayak seperti Bidayuh, Iban dan Orang Ulu meraikannya.

Temenggung Bidayuh Bahagian Kuching, Austin Dimin berkata, kini Gawai bukan sahaja budaya dan warisan Dayak, tetapi wadah yang dapat mengeratkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di Sarawak khasnya dan Malaysia amnya.

Dahulu, banyak bentuk perayaan atau gawai disambut, makna umum Gawai ialah keraian tetapi selepas 1 Jun 1965 diwartakan, Dayak hanya menyambut satu perayaan utama iaitu selepas musim menuai bagi meraikan hasil tuaian.

Walaupun ketika ini ramai Dayak tidak lagi menanam padi kerana bekerja dalam pelbagai sektor ekoran kejayaan dalam bidang akademik, Gawai tetap diraikan tetapi dengan gaya moden.

“Perubahan masa dan pengaruh unsur moden seperti makanan, gaya hidup dan persekitaran Gawai disambut penuh meriah dan menjadi antara perayaan utama di Sarawak khasnya tanpa mengira agama dan kaum,” katanya.

Austin yang juga Ahli Majlis Adat Istiadat Sarawak (Bidayuh) memberitahu, dahulu makanan yang dihidangkan amat berbeza dengan sekarang, namun amalan ‘ngabang’ itu tetap diteruskan.

‘Ngabang’ merupakan amalan kunjung-mengunjungi sempena Gawai dan uniknya budaya itu hanya terdapat di Sarawak.

Kalau tiba Gawai, makanan mesti ada secara amnya ialah pekasam, lemang, ‘pansuh’ tuak, kuih-muih tradisional seperti kuih jala, cap dan ‘sagon.’

“Sekarang makanan yang disediakan adalah makanan yang boleh dimakan oleh semua bangsa. Kek, biskut, kari daging dan ayam malah ada yang menempah khas daripada syarikat katering Islam hanya untuk memastikan sahabat handai mahupun saudara-mara beragama Islam dapat meraikan Gawai bersama.

“Ini semuanya lahir daripada sensitiviti kepada kepercayaan dan agama kaum lain serta rasa menghormati antara satu sama lain rakyat Sarawak berbilang kaum dan agama,” katanya.

Menurut beliau, perpaduan dipupuk dan diperkukuhkan lagi dengan penganjuran majlis rumah terbuka oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili kaum Dayak.

Pada majlis itu, pelbagai kaum dan agama akan hadir, itulah keistimewaan Sarawak, semangat 1Malaysia sebenar wujud, walaupun berbeza agama dan bangsa tetapi boleh hidup dalam sebuah masyarakat majmuk bersatu serta boleh merai perayaan kaum lain bersama.

Tambahnya, penghijrahan komuniti Dayak ke bandar memainkan peranan menghidupkan suasana perpaduan dan keharmonian setiap kali menjelang Gawai di bandar.

“Dalam hal ini, kita tidak boleh menafikan peranan pelbagai perayaan rasmi di negara ini seperti Gawai Dayak menjadi platform terbaik untuk terus menyuburkan semangat perpaduan dan kebangsaan dalam kalangan generasi dahulu hingga ke hari ini,” katanya.

Bagi Mayza Mustafa, 36, Gawai merupakan peluang untuk beliau dan anak-anak mengeratkan lagi hubungan dengan keluarga mentua dan adik-beradik suaminya yang berbangsa Bidayuh.

“Setiap tahun kami anak-beranak akan pulang kampung suami dan walaupun kami berbeza agama tetapi perayaan Gawai tetap disambut bersama-sama.

“Ibu mentua dan adik-beradik suami saya akan menyediakan hidangan halal kerana mengambil kira sensitiviti kami sekeluarga. Begitu juga setiap kali Hari Raya Aidilfitri kalau kami tidak pulang ke Selangor, keluarga suamilah yang akan memeriahkan lagi suasana raya kami sekeluarga di sini,” katanya.

Menurut Mayza, Gawai dan Hari Raya tidak jauh bezanya, ia disambut penuh meriah dengan amalan kunjung-mengunjungi melibatkan semua kaum.

“Di Sarawak perayaan disambut sangat meriah, penuh warna-warni dan pelbagai juadah dihidangkan yang tidak ada di Semenanjung Malaysia. Walaupun berlainan agama dan bangsa perpaduan dan keharmonian kaum di sini amat jelas,” katanya.

Gawai pastinya dinanti-nantikan oleh golongan muda, kerana ia adalah masa untuk mereka meraikan perayaan itu bersama rakan-rakan.

Bagi Royson Rojis, 21, Gawai adalah perayaan yang dinanti-nantikan selain Krismas kerana pada masa itu beliau dan rakan-rakan akan ‘ngabang’ beramai-ramai.

“Sebagai pelajar kolej, sudah tentu saya mempunyai ramai rakan dan mereka akan datang berkunjung ke rumah setiap kali Gawai atau Krismas.

“Ketika itu memang perbezaan kaum dan agama tidak menjadi batasan. Kami bersatu sebagai sebuah keluarga yang besar,” katanya.

Maka adalah penting semangat bersatu padu yang wujud menerusi sambutan perayaan utama di negeri ini seperti Gawai Dayak wajar difahami dan diteliti kerana ia mempunyai nilai positif menyumbang kepada pembangunan negara secara keseluruhannya.

 Golongan muda menjadikan Gawai wadah pengerat hubungan mereka.
SAAT DITUNGGU: Golongan muda menjadikan Gawai wadah pengerat hubungan mereka.
  • oleh
  • Advertisement