Anda di sini

Bekas majistret didakwa beri suapan RM1,000 kepada TPR gugurkan kes 

Advertisement
 Esther (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan memberi suapan RM1,000 kepada seorang Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk mengugurkan kes tiga bulan lepas di Kompleks Mahkamah Shah Alam, semalam. — Gambar Bernama
BERI SUAPAN: Esther (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan memberi suapan RM1,000 kepada seorang Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk mengugurkan kes tiga bulan lepas di Kompleks Mahkamah Shah Alam, semalam. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Seorang bekas Majistret mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan memberi suapan RM1,000 kepada seorang Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk menggugurkan kes, tiga bulan lepas.

Esther Tan Siew Choo, 54, memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Wanita itu yang kini seorang peguam, didakwa memberi suapan kepada TPR Selangor, Mahmoodah V M Abdul Latiff sebagai dorongan untuk menggugurkan kes ke atas Mohd Hairi Mohd Jani atas kesalahan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Mohd Hairi merupakan anak guam Esther.

Esther didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Majistret Sungai Besar, Jalan Besar, Sungai Besar, Sabak Bernam, kira-kira 12.30 tengah hari pada 2 Feb lepas dan didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya  SPRM Hazirah Azeman yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan supaya tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 serta seorang penjamin selain pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Esther bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan RM10,000 agak tinggi berbanding nilai suapan yang terlibat dan anak guamnya telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan SPRM.

“Anak guam saya juga mempunyai rekod prestasi perkhidmatan yang cemerlang dalam badan perundangan yang beliau pernah menjadi Majistret dari 2001 sehingga 2005 dan kini seorang peguam.

“Pohon pasport tertuduh juga tidak diserah kepada mahkamah kerana tidak ada sebab untuk anak guam saya yang mempunyai dua anak serta empat cucu melarikan diri. Anak guam saya rela melapor diri di pejabat SPRM daripada serahkan pasport kerana dia perlu ke luar negara,” katanya.

Hakim Rozilah kemudian berkata, meskipun jumlah suapan yang terlibat RM1,000 ataupun RM14 ia adalah kes rasuah dan justeru beliau memandang serius tuduhan yang dikenakan terhadap Esther.

Rozilah seterusnya menetapkan jumlah jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Beliau turut menetapkan 26 Mei ini untuk sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement