Anda di sini

Libya pintas bot bawa hampir 500 pendatang

Advertisement
 Ratusan pendatang, yang bot kayu mereka dipintas oleh pasukan pengawal pantai Libya di Laut Mediterranean, tiba di pangkalan tentera laut di Tripoli kelmarin. — Gambar AFP
HASIL PINTASAN: Ratusan pendatang, yang bot kayu mereka dipintas oleh pasukan pengawal pantai Libya di Laut Mediterranean, tiba di pangkalan tentera laut di Tripoli kelmarin. — Gambar AFP

TRIPOLI: Pasukan pengawal pantai Libya kelmarin memintas sebuah bot kayu yang membawa hampir 500 pendatang selepas mereka bertarung dengan sebuah kapal penyelamat Jerman dan ditembak oleh pedagang manusia, kata tentera laut.

Pendatang tersebut, yang hendak belayar ke Itali, dikutip di perairan bandar barat Sabratha, kata jurucakap tentera laut Ayoub Qassem.

Organisasi bukan kerajaan Jerman “Sea-Watch cuba mengganggu operasi pengawal pantai di dalam perairan Libya dan mahu mengambil pendatang, atas alasan Libya tidak selamat”, kata Qassem kepada AFP.

Sea-Watch memaparkan video dalam Twitter bagi apa yang ia sebut sebagai sebuah kapal pengawal pantai Libya yang memotong dekat dengan bahagian haluan kapal.

Kapal rondaan Libya yang dibiayai EU (Kesatuan Eropah) ini hampir melanggar kapal penyelamat awam kami,” kapsyen menyebut.

Qassem juga berkata pasukan pengawal pantai telah ditembak oleh pedagang manusia, tanpa melaporkan sebarang kematian atau kecederaan.

Seramai 493 pendatang itu termasuk 277 dari Maghribi dan ramai dari Bangladesh, kata Qassem, dan 20 wanita dan seorang kanak-kanak berada di atas bot tersebut. Semua dibawa ke sebuah pangkalan tentera laut di Tripoli.

Selain itu terdapat juga pendatang dari Syria, Tunisia, Mesir, Sudan, Pakistan, Chad, Mali dan Nigeria, tambahnya.

Menurut organisasi antarabangsa, antara 800,000 hingga sejuta, kebanyakannya dari pinggir Sahara Afrika, kini berada di Libya dengan harapan untuk menyertai pelayaran yang berbahaya menyeberangi Laut Mediterranean ke Eropah.

Antara 7,000 hingga 8,000 pendatang ditahan di pusat tahanan Libya selepas mereka memasuki negara itu secara haram, kata seorang pegawai imigresen pada Selasa lepas.

Negara Afrika Utara itu sudah lama menjadi batu loncatan bagi pendatang yang mencari kehidupan yang lebih baik di Eropah.

Penyeludup sudah mempertingkatkan perniagaan mereka yang lumayan dalam keadaan huru-hara yang menyelubungi Libya sejak revolusi di sana pada 2011. — AFP

Advertisement