Anda di sini

Adat dan budaya bentuk masyarakat harmoni

Advertisement
 Pairin (tengah) menerima cenderahati selepas perasmian majlis itu.
BUDAYA KITA: Pairin (tengah) menerima cenderahati selepas perasmian majlis itu.

PENAMPANG: Adat kebudayaan perlu dijaga agar warisan bangsa terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata dengan adanya adat serta budaya, ia menjadi panduan dan bimbingan dalam membentuk masyarakat yang harmoni.

Sambutan Hari Kaamatan adalah warisan budaya yang perlu dijaga kerana ia mampu menjalin perpaduan sesama masyarakat dari pelbagai latar belakang.

Penglibatan pelbagai masyarakat dalam meraikan sambutan ini juga membuktikan adat budaya amat penting untuk terus dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Kapayan 2017, di sini, kelmarin.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Presiden KDCA berkata menerusi Pesta Kaamatan, banyak ditampilkan adat kebudayaan daripada pelbagai suku dan etnik di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau mahu masyarakat mengambil peluang berkenaan untuk menonjolkan kreativiti dan inovasi dalam budaya masing-masing.

Ini juga dapat ditampilkan dalam membantu memajukan lagi industri pelancongan di Sabah.

Industri pelancongan sememangnya penting dalam memajukan ekonomi masyarakat dan aspek kebudayaan antara bidang yang mampu menyumbang kepada usaha berkenaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha penganjur dalam menjayakan sambutan Pesta Kaamatan peringkat Kapayan.

Katanya kerjasama yang ditunjukkan dalam menganjurkan acara berkenaan membuktikan perpaduan yang terjalin erat dalam kalangan masyarakat di kawasan berkenaan.

Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Edward Yong Oui Fah dan Penaung Jawatankuasa Penganjur Pesta Kaamatan KDCA Kapayan Datuk Francis Goh.

Advertisement