Anda di sini

12 Jun penggulungan kes bunuh pengurus bank

Advertisement

Dua tertuduh perlu bela diri sekiranya pihak pendakwa raya berjaya membuktikan kes prima facie

 Ling (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi setelah tamat prosiding kes semalam.
BICARA: Ling (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi setelah tamat prosiding kes semalam.

SIBU: Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 12 Jun ini bagi membuat penggulungan kes membabitkan pembunuhan seorang pengurus bank yang berlaku pada tahun 2012.

Hakim Datuk Norcahaya Arshad turut menetapkan 14 Julai ini bagi membuat keputusan terhadap kes tersebut.

Sekiranya pihak pendakwa raya berjaya membuktikan sebuah kes prima facie terhadap tertuduh, Tiong King Guan, 30, dan Ling Hang Tsyr, 36, mereka perlu membela diri.

Pihak pembela yang diketuai oleh Roger Chin dan Lim Heng Choo juga dijangka memanggil tiga atau empat saksi bagi memberi keterangan.

Ketika prosiding kes semalam, Pegawai Penyiasat kes, DSP Yeoh Chun Shyan memberitahu mahkamah bahawa Tiong tidak pernah dipaksa, diugut atau dipujuk ketika memberikan keterangan.

Semasa disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fillany Siji, Yeoh berkata Tiong hanya membuat laporan polis pada 7 November 2012, mendakwa keterangan yang diberikan pada 20 Ogos, 2012, bukan diberi secara sukarela.

Sekiranya beliau dipaksa, beliau boleh memaklumkan kepada peguamnya atau pegawai penjara dengan segera. Namun beliau membuat laporan polis itu tiga bulan kemudian,” ujar Yeoh.

Tiong didakwa bersama teman wanitanya, Ling, yang juga isteri kepada mangsa (pengurus bank), didakwa bersubahat membunuh Stephen Wong Jing Kui, 31, di kediaman mereka di Ulu Sungai Merah pada 14 Jun, 2012, kira-kira jam 1.30 pagi.

Seorang lagi tertuduh, Ling Hoe Ing, 28, telah mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif pada 1 Oktober 2013 dan kini sedang menjalani hukuman 16 tahun penjara.

Mahkamah selepas itu membebas tanpa melepaskan Tiong dan Ling daripada pertuduhan bersubahat melakukan pembunuhan itu, sebelum pihak pendakwa raya membuat rayuan dan pertuduhan dikenakan semula terhadap mereka pada Februari 2015.

Bagaimanapun, Tiong yang bekerja sebagai penjual kenderaan menghilangkan diri dan dikeluarkan waran tangkap selepas gagal hadir di mahkamah sehingga kini.

Keluarga mangsa turut menawarkan ganjaran wang tunai RM50,000 kepada orang ramai yang memberi maklumat, sehingga tertuduh berjaya ditangkap.

  • oleh
  • Advertisement