Anda di sini

UMNO perlu perhebat proses tarbiah demi kelangsungan parti: Annuar

Advertisement

KUALA LUMPUR: Memperhebatkan proses tarbiah terhadap dasar dan falsafah perjuangan parti kepada anggota adalah antara keazaman yang diperlukan UMNO sempena menyambut ulang tahun penubuhan parti keramat orang Melayu itu sejak tujuh dekad lepas.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata walaupun menjangkau usia 71 tahun, parti itu dilihat perlu menggiatkan lagi usahanya menanam semangat dan falsafah perjuangan parti itu khususnya dalam kalangan anggota generasi muda.

Saya tidak segan untuk menyatakan bahawa inilah satu cabang yang UMNO agak lemah iaitu dari segi tarbiah.

Sebagai parti yang memerintah, banyak perkara dalam tangan kita...kuasa, projek, peruntukan, apatah lagi UMNO adalah  sebuah parti terbuka, nak masuk tiada proses pertarbiahan,  isi borang, dah jadi ahli, tak perlu lalui ujian, kursus. Tapi yang masuk itu, kualitinya apa?

Untuk perjalanan ke hadapan, program latihan dan tarbiah itu mesti diperhebatkan,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara di Bernama News Channel di Wisma Bernama di sini, malam kelmarin.

Annuar berkata program-program latihan dan proses pentarbiahan itu perlu dilakukan secara berterusan dan bukan bersifat bermusim.

Anggota UMNO, katanya, juga perlu meningkatkan komitmen dan iltizam bahawa UMNO merupakan parti yang diwujudkan untuk mentadbir dan memerintah, bukan hanya untuk bertanding pada pilihan raya semata-mata.

Bila mentadbir dan memerintah, ada falsafah dan ‘roh’ yang mesti dibawa bersama. Sebab itu, ia dipancarkan dalam Perlembagaan negara dan Perlembagaan parti.

UMNO bukan kosong, bukan hanya satu lagi parti politik untuk masuk pilihan raya dan cuba memenangi beberapa kerusi. Kalau pembangkang, mereka boleh janjikan bulan dan bintang sebab dari awal ia tahu ia tak perlu buat.

Tapi kita (UMNO), apa yang berlaku akan beri impak langsung kepada masyarakat. Kita ada agenda yang kita perlu jalankan untuk rakyat,” kata beliau.

Terdahulu, ketika menjawab soalan dalam program bual bicara itu sempena ulang tahun ke-71 UMNO pada 11 Mei ini, Annuar berkata parti itu perlu menjadi terbuka dengan menerima semula anggota yang telah keluar daripada parti berkenaan.

Beliau berpendapat proses perbezaan pendapat adalah sesuatu yang biasa berlaku dari dahulu dan ia tidak pernah menjejaskan parti itu.

Kita tengok pada sejarah, Tun Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) pun pernah keluar dan masuk semula, Tengku Razaleigh (Tengku Razaleigh Hamzah) pun pernah dikeluarkan dan masuk semula.

Proses perbezaan pendapat, keluar daripada parti, masuk semula itu berlaku sepanjang masa, pada saya ini sebahagian daripada lumrah perjalanan sebuah parti politik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ada peraturan tertentu dalam Perlembagaan UMNO yang perlu dipatuhi dalam soal penerimaan semula bekas anggota UMNO itu.  — Bernama

Advertisement