Anda di sini

Tiga ibu tidak menyangka bayi mereka jadi anak angkat PBSM

Advertisement
 Abang Abdul Rauf (belakang, empat kiri) bergambar bersama ahli PBSM yang lain ditemani kakitangan HUS dan ibu bayi yang bersalin pada tarikh keramat 8 Mei ulang tahun PBSM sedunia Isnin lepas. Kelihatan (duduk, dari kiri) Pollymena, Anna dan Norfazilla bersama bayi mereka.
ANAK ANGKAT: Abang Abdul Rauf (belakang, empat kiri) bergambar bersama ahli PBSM yang lain ditemani kakitangan HUS dan ibu bayi yang bersalin pada tarikh keramat 8 Mei ulang tahun PBSM sedunia Isnin lepas. Kelihatan (duduk, dari kiri) Pollymena, Anna dan Norfazilla bersama bayi mereka.

TIGA ibu tidak menyangka 8 Mei merupakan tarikh keramat apabila bayi mereka dijadikan anak angkat dalam program ‘Adoption of Red Crescent Babies’ di Kuching, Isnin lepas.

Ketiga-tiga bayi iaitu seorang bayi lelaki dan dua perempuan telah dilahirkan sekitar jam 12.11 pagi hingga 12.57 pagi Isnin di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Ketika ditemui Pollymena Ahngge, 21, berasal dari Kapit berkata, bayi lelaki beliau dilahirkan tidak cukup bulan melalui pembedahan.

Beliau masih kelihatan lemah dan berada di atas kerusi roda manakala bayinya pula masih berada dalam pusat jagaan bayi pramatang.

Bayi saya lahir tidak cukup bulan iaitu 36 minggu, tinggal seminggu lagi baharu mahu cukup sembilan bulan.

Tetapi saya dan suami memang bersyukur kerana sebelum ini kami ada anak perempuan. Bayi saya terpaksa dilahirkan melalui pembedahan kerana CTG (nafas) bayi dalam kandungan menurun.

Tidak sangka diambil pula menjadi anak angkat oleh pihak Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) cawangan Sarawak,” katanya, baru-baru ini.

Anna Jenggi dari Betong pula melahirkan bayi perempuan yang cukup sifatnya seberat 2.67kg sekitar 12.20 pagi Isnin.

Katanya, beliau tidak menyangka bayi perempuan beliau dijadikan anak angkat walaupun terkejut dengan berita tersebut kerana hanya diberitahu sekitar jam 12 tengah hari Isnin.

Beliau dan suami memberi keizinan namun tidak pula tahu kelebihan anak mereka apabila dijadikan anak angkat oleh pihak PBSM.

Manakala Norfazilla Samsimon dari Kuching berkata, bayi perempuannya selamat dilahirkan dengan cara normal seberat 3.1kg.

Sebelum ini kami tidak pernah tahu 8 Mei adalah Hari Ulang Tahun Sambutan PBSM Sedunia. Walaupun berasa mengantuk dan letih tetapi kami berasa teruja.

Sepatutnya saya sudah dibenarkan untuk keluar dari hospital tetapi disuruh menunggu untuk program ini. Terima kasih pihak PBSM,” katanya.

Menurut Pengerusi PBSM Daerah Kuching Datuk Abang Abdul Rauf Abang Zain, program ini dilakukan setiap tahun oleh pihaknya bagi meraikan bayi dan ibu mereka sebagai sebuah keluarga semasa ulang tahun PBSM sedunia.

  • oleh
  • Advertisement